MyCC tumpu perhatian, usaha pantau industri simen

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC)
A
A
A

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan menumpukan perhatian dan usaha untuk memantau industri simen secara konsisten bagi menyokong inisiatif kerajaan dalam melindungi pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memberikan input berkenaan isu tersebut.

"KPDNHEP telah mengadakan pertemuan dengan pemain-pemain industri simen semalam. Kami sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian untuk memberikan input kami dan akan menilai perkara ini di bawah peruntukan Akta Persaingan 2010 jika perlu," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 16 Jun lalu, media melaporkan Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan dengan KPDNHEP berhubung isu kenaikan harga simen secara mendadak bermula kelmarin.

Difahamkan isu itu dibangkitkan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) yang mengatakan mereka menerima notis kenaikan harga simen sebanyak 40 peratus pada 3 Jun lalu dan ia berkuatkuasa pada 15 Jun dan 1 Julai.

Berdasarkan laporan itu, 85 peratus bekalan simen negara dikuasai oleh sebuah syarikat sahaja dan menjangkakan kenaikan mendadak daripada RM10 kepada RM16 itu dijangka akan menyebabkan harga rumah terutama rumah mampu milik.

Dalam pada itu, Iskandar berkata, pihaknya sudah mengambil maklum terhadap notis-notis kenaikan harga yang telah dikeluarkan oleh beberapa syarikat simen dan konkrit campuran siap.

"Suruhanjaya juga turut mengambil kira efek penggabungan antara YTL dan Lafarge baru-baru ini yang telah menyebabkan penumpuan pasaran di tahap huluan dan hiliran.

Artikel Berkaitan:

"Seksyen 4 dan Seksyen 10 Akta Persaingan 2010 dengan jelas melarang perusahaan daripada membuat perjanjian antipersaingan dan menyalahgunakan kedudukan dominan mereka di pasaran," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memberi jaminan bahawa suruhanjaya tersebut akan terus dengan inisiatifnya untuk menggalakkan dan melindungi proses persaingan.

"Kami menggesa orang ramai untuk membuat aduan mereka kepada suruhanjaya di complaints@mycc.gov.my sekiranya mereka mengesan sebarang perlakuan antipersaingan dalam industri simen," ujar beliau.