Pekerja ladang ditetak gara-gara dituduh curi durian

No Image Caption
A
A
A

BERA - Seorang pekerja ladang warga Indonesia terpaksa menerima enam jahitan di kepala akibat ditetak seorang lelaki kerana dituduh mencuri durian di Ladang Sawit Technoplant Tembangau 2, Kemayan di sini, petang semalam.

Mangsa dikenali sebagai Sahban, 35 yang luka di kepala menerima rawatan di Klinik Tembangau 2 sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah Bera, Deputi Superintendan Mansor Samsudin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di ladang sawit Felda Technoplant Tembangau 2

Menurutnya, dalam perjalanan, dia ditahan seorang lelaki tidak dikenali sebelum dimarahi kerana menuduh mangsa mencuri buah durian miliknya.

"Mangsa menafikan tuduhan tersebut namun suspek tidak berpuas hati lalu bertindak menetak kepala mangsa dengan belakang sebilah parang sehingga mengalami kecederaan di bahagian kepala.

"Mangsa beredar dari tempat kejadian dan pergi ke Klinik Tembangau 2 untuk menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian, polis kini sedang mengesan suspek untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan keterangan mangsa, selepas kejadian suspek melarikan diri menaiki motosikal jenis Honda EX-5 namun nombor pendaftarannya tidak dapat dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

"Suspek dikatakan berbadan agak berisi dan tingginya kira-kira 1.7 meter dan mangsa mengecam wajah lelaki tersebut.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya.