Enam suspek kes ragut ditahan

Proton waja yang dinaiki suspek disita apabila terlibat kes ragut di Wakaf Bharu.
Proton waja yang dinaiki suspek disita apabila terlibat kes ragut di Wakaf Bharu.
A
A
A

TUMPAT - [KEMASKINI] Polis Tumpat menahan enam lelaki dipercayai terlibat dalam 10 kes jenayah termasuk kes ragut seorang surirumah yang diseret kereta sejauh lima meter di jalan berhampiran Pejabat Pos Wakaf Bharu pada Mei lalu.

Mereka juga mempunyai kaitan kes samun di Pasir Puteh dan beberapa kes pecah rumah di Tumpat dan curi kenderaan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, pihaknya berjaya menahan enam suspek berusia 24 tahun hingga 38 tahun sejak penghujung Ramadan lalu sehingga semalam.

"Mereka termasuk seorang suspek wanita direman sehingga esok.

"Kesemua suspek positif dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau.

"Seorang lagi suspek ketujuh berusia 37 tahun dari kumpulan terbabit masih diburu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Tumpat hari ini.

Sebelum ini tular di media sosial kejadian seorang surirumah diragut empat penjenayah menaiki kereta Proton Waja berwarna kelabu sehingga menyebabkan mangsa berusia 57 tahun diseret kereta sejauh lima meter di Wakaf Bharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah diseret lima meter

Artikel Berkaitan:

Kumpulan penjenayah terbabit juga sebelum meragut terlibat dengan kes penipuan isi minyak menggunakan kereta sama di stesen minyak Wakaf Bharu.

Ab Rashid berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan barang kes termasuk televisyen, komputer riba, kunci kenderaan dan kereta Perodua Myvi yang terlibat kes curi kenderaan dirampas.

"Pihak polis turut menyita Proton Waja yang terbabit dengan kes ragut di Wakaf Bharu," katanya.