Pesakit orang asli bertambah di Hospital Hulu Terengganu

Dr Mohd Jusoh
Dr Mohd Jusoh
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jumlah pesakit orang asli yang dirawat di Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang akibat simptom jangkitan saluran pernafasan meningkat kepada 12 orang dengan pertambahan dua kes baharu semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata, kedua-dua kes itu melibatkan penduduk orang asli yang berasal dari Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

"Mangsa pertama ialah seorang perempuan berusia 32 tahun yang telah menjalani pemeriksaan oleh pasukan kesihatan daerah dan dirujuk ke Hospital Hulu Terengganu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Kes kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang telah datang sendiri ke hospital untuk mendapatkan rawatan," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohd berkata, kedua-dua kes baharu itu dalam keadaan stabil manakala jumlah keseluruhan pesakit yang positif Measles (demam campak) masih kekal sebanyak tujuh kes.

Katanya, kes demam campak dalam kalangan orang asli di Terengganu terkawal dan orang ramai diminta untuk tidak khuatir terhadap kejadian itu.

"Kita kini berusaha bagi memastikan semua orang asli di kawasan itu mendapat suntikan imunisasi bagi tujuan pencegahan penyakit demam campak.

"Jabatan kesihatan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Terengganu kini dalam usaha untuk melengkapkan profil penduduk, mengenal pasti status imunisasi dan tahap pemakanan penduduk terutama kanak-kanak di perkampungan orang asli," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, JKNT menjalankan program pengawasan perubatan atau survelan bermula 9 Jun lalu terhadap empat perkampungan orang asli di tiga daerah iaitu Kemaman, Besut dan Hulu Terengganu susulan kejadian kluster jangkitan saluran pernafasan dalam kalangan orang asli di Kuala Koh, Gua Musang.

Selain itu, katanya, kakitangan pasukan perubatan Klinik Kesihatan (KK) Tengkawang dan pasukan kesihatan PKD Hulu Terengganu juga menjalankan tindakan pemantauan secara harian bagi mengesan kes baharu.

Terdahulu, lapan pesakit orang asli yang berasal dari Kg Kuala Koh, Gua Musang, dimasukkan ke hospital itu pada 12 Jun lalu dengan tujuh daripadanya mengalami simptom jangkitan saluran pernafasan manakala seorang mengalami cirit-birit, sakit perut dan muntah.

Pada 14 Jun pula, seorang lagi pesakit dari Kampung Sungai Berua dimasukkan ke hospital itu lalu kerana mengalami simptom sama iaitu sesak nafas, demam dan batuk manakala seorang lagi pesakit yang berasal dari kampung yang sama dimasukkan ke hospital itu pada awal pagi Isnin lalu, kerana demam.

Bagaimanapun, kesemua pesakit dilaporkan stabil dan diberi antibiotik serta mendapat rawatan kesihatan dengan pemantauan petugas hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: 8 orang asli dirawat di Hospital Hulu Terengganu