Peniaga buang kulit durian tepi jalan dicekup

Peniaga dicekup buang kulit durian di tepi jalan di Bandar Saujana Putra di sini.
Peniaga dicekup buang kulit durian di tepi jalan di Bandar Saujana Putra di sini.
A
A
A

JENJAROM- Seorang peniaga buah bakal berdepan hukuman denda maksimum RM1,000 selain kenderaan miliknya disita selepas dicekup membuang kulit durian di tepi Jalan SP1, Bandar Saujana Putra di sini, malam Isnin lalu.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohamad Zain A Hamid berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab peniaga itu berjaya dihidu anggota penguatkuasa MDKL Cawangan Bandar Saujana Putra yang melakukan intipan bermula jam 8 malam.

Menurutnya, anggota penguat kuasa berjaya mencekup dua lelaki menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena itu ketika kedua-duanya leka membuang sisa kulit durian di tepi pada jam 12.40 malam.

“Hasil soal siasat mendapati mereka menjalankan perniagaan durian di kawasan berhampiran tanpa kebenaran MDKL.

“Bagi kesalahan tersebut, peniaga ini dikenakan notis kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (4), Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah Sarap, Majlis Daerah Kuala Langat 2007,” katanya.

Sisa kulit durian yang dibuang di tepi jalan.
Sisa kulit durian yang dibuang di tepi jalan.

Mohamad Zain berkata, barangan jualan dan kenderaan peniaga terbabit disita di bawah Undang-Undang Kecil (21) (1), Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pelupusan dan Pelupusan Sampah-sarap, Majlis Daerah Kuala Langat 2007.

Katanya, peniaga terbabit boleh dikenakan denda mahkamah sebanyak RM2,000 dan MDKL sedang mengkaji untuk mengambil tindakan mahkamah seterusnya.

“Kami kecewa dengan sikap tamak dan rakus peniaga mengaut keuntungan tanpa memikirkan cara menangani isu pelupusan sampah dengan betul.

“Perbuatan terbabit (membuang sampah haram) menyumbang kepada wujudnya lokasi sampah haram dengan lebih berleluasa.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, MDKL sentiasa menggerakkan anggota penguat puasa setiap hari bagi membuat pemantauan dan berharap kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat mengenai aktiviti sampah haram,” katanya.

Kulit durian yang dibuang di tepi jalan.
Kulit durian yang dibuang di tepi jalan.

Terdahulu, beliau berkata, pihak MDKL telah menyediakan tapak perniagaan di Jalan SP1, SP4 dan SP8, Bandar Saujana Putra bagi peniaga yang ingin menjalankan perniagaan buah bermusim.

Katanya, peniaga hendaklah terlebih dahulu membuat permohonan permit bagi menjalankan perniagaan tersebut.