Selangor umum pengecualian denda cukai petak

 Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) telah memutuskan untuk mengecualikan denda bayaran cukai petak yang dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan bermula 1 Jun lalu hingga 31 Ogos depan.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah tersebut merupakan satu insentif dan hadiah hari raya kepada semua rakyat di negeri ini yang memiliki hak milik strata.

Menurut beliau, di samping itu langkah ini juga adalah bagi menggalakkan pembayaran cukai petak demi kelangsungan pembangunan negeri ini yang lebih holistik selaras dengan agenda Selangor Maju Bersama.

"Oleh itu rakyat di negeri ini khususnya pemilik berstrata digesa untuk merebut peluang ini bagi menggelakkan daripada dikenakan fi denda lewat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata pada 1 Jun 2018 lalu, Selangor telah menjadi negeri pertama menjalankan kutipan cukai petak bagi skim pembangunan berstrata di negara ini.

Beliau berkata, pelaksanaan cukai petak bagi skim pembangunan berstrata bertujuan untuk membantu rakyat negeri Selangor menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pemilik hartanah berstatus strata dengan Perbadanan Pengurusan (MC) yang melibatkan urusan cukai.

"Ini lebih memudahkan pemilik petak untuk melakukan sebarang urusan jual beli bagi hartanah berskim strata, di samping mewujudkan akses langsung antara pemilik hartanah membayar cukai secara terus kepada Pejabat Tanah dan Daerah. (PTG)," katanya.

Artikel Berkaitan: