Yeop lega tewaskan Penyu

Mehmet Durakovic - Foto fail Bernama
Mehmet Durakovic - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH – Kejayaan Perak menewaskan Terengganu 3-1 pada aksi Unifi Liga Super di Stadium Perak semalam, nyata melegakan terutamanya dengan aksi cemerlang yang dipamerkan kesebelasan skuad The Bos Gaurus itu.

Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, semua pemain telah beraksi baik dan menguasai sebahagian besar perlawanan.

Malah menurutnya, kesebelasan anak didiknya itu sewajarnya menjaringkan lebih banyak gol menerusi deretan peluang yang terhidang di depan gawang lawan.

“Secara keseluruhannya, kita gembira dengan kemenangan ini. Sejak wisel permulaan kita menguasai perlawanan dengan deretan peluang gol.

“Pemain juga telah beraksi dengan baik mengikut taktikal yang diatur untuk mengasak dan memberikan tekanan kepada pertahanan lawan.

“Bagaimanapun kita seharusnya boleh menjaringkan lebih banyak gol mungkin empat atau lima gol kerana Terengganu hanya beraksi dengan 10 pemain. Apa pun, ia tetap satu kemenangan selesa buat kita,” katanya sejurus tamat perlawanan semalam.

Perlawanan malam tadi menyaksikan kapten skuad Kejor Yeop Skor Shahrul Mohd Saad menanduk masuk jaringan pembukaan pada minit ke-33 sebelum penyerang import Ronaldo Henrique Silva menjaringkan gol kedua pada minit ke-69 dan kemudiannya gol ketiga pada minit ke- 77.

Terengganu berjaya merapatkan jurang gol hasil jaringan Chanthacheary Bin pada minit ke-88, namun ia sudah terlalu lewat untuk menyaksikan Perak meraih tiga mata berharga di gelanggang sendiri.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Durakovic turut memberikan pujian kepada penjaga gol Terengganu Muhamad Ilham Amirullah Razali yang disifatkannya telah beraksi cemerlang bagi menafikan asakan-asakan penyerang Perak termasuk menyelamatkan sepakan penalti daripada import Brazil, Raianderson da Costa Morais pada minit ke-47.

“Bagi saya, penjaga gol Terengganu adalah ‘man of the match’ pada malam ini. Dia beraksi cemerlang dengan menyelamatkan banyak percubaan kita,” katanya.

Sementara itu Durakovic berharap kesebelasan pemain mendapat rehat yang cukup selain segera pulih daripada kecederaan menjelang aksi separuh akhir pertama Shopee Piala FA berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur Kuantan, Sabtu ini.

“Kita raikan kemenangan malam ini (semalam), dan akan kembali berlatih hari ini menjelang perlawanan separuh akhir pertama Piala FA dengan Pahang hujung minggu ini.

“Diharapkan kesemua pemain mendapat rehat yang cukup dan segera pulih menjelang aksi penting ini,” katanya.