PMINT sedia tambah baik kemudahan lif

Pangsapuri Ladang Tok Pelam. Gambar: PMINT
Pangsapuri Ladang Tok Pelam. Gambar: PMINT
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Masalah lif yang menghantui penghuni Pangsapuri Ladang Tok Pelam di sini bakal berakhir apabila kerajaan negeri melalui Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bersedia untuk menambah baik kemudahan di perumahan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, pihak PMINT telah bersetuju untuk menambah baik kemudahan itu dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) pada lima unit lif yang terdapat di situ.

“Kesemua lif akan dilengkapkan dengan lima unit CCTV yang akan disambungkan terus ke bilik pengurusan penyelenggaraan dan juga akan dihubungkan secara ‘online’ kepada telefon bimbit pegawai yang bertugas.

“Selain itu, loceng penggera juga akan diletakkan dalam bilik pengawal keselamatan di pangsapuri itu bagi memberikan maklum balas yang lebih pantas sekiranya berlaku sebarang kejadian di dalam lif,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, usaha itu secara tidak langsung bukan hanya memudahkan penghuni yang tinggal di situ, ia juga akan membendung masalah kegiatan jenayah dari berlaku.

“Kalau ada apa-apa kejadian seperti peras ugut atau samun, kita boleh terus kesan menerusi CCTV.

Lima buah lif bagi kegunaan penghuni Pangsapuri Ladang Tok Pelam. (Gambar kecil: Dr Alias Razak)
Lima buah lif bagi kegunaan penghuni Pangsapuri Ladang Tok Pelam. (Gambar kecil: Dr Alias Razak)

“Begitu juga dengan loceng penggera, kalau ada masalah, mereka boleh terus tekan loceng di mana akan terus disambungkan ke dalam bilik pengawal keselamatan. Sebelum ini bunyi loceng hanya boleh didengari di kawasan sekitar lif sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, katanya, beliau berharap supaya penghuni kediaman itu dapat memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan yang akan disediakan itu nanti.

“Kita anggarkan kos kesemua penambahbaikan ini tidak menelan belanja yang begitu tinggi, mungkin dianggarkan sekitar RM10,000.

“Apa pun, kita harap, kemudahan yang disediakan ini dapat digunakan sebaik mungkin oleh semua penghuni yang tinggal di situ,” katanya.

Sebelum ini, beberapa kes penghuni terperangkap di dalam lif di perumahan itu telah dilaporkan, bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa berlaku.

Kesemua mangsa yang dilaporkan terperangkap di dalam lif sebelum ini selamat dikeluarkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, pengawal keselamatan, pegawai penyelenggara dan orang ramai.

Pangsapuri Ladang Tok Pelam yang terletak di tengah bandaraya Kuala Terengganu mempunyai berketinggian 30 tingkat dengan keseluruhan 407 unit rumah.