Harga simen jejas industri pembinaan

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba harga simen dikhabarkan sudah naik secara mendadak sehingga 40 peratus sejak 15 Jun lalu. Ia mengejutkan banyak pihak.

Simen sangat penting dalam industri pembinaan dan sudah pasti kenaikan yang sangat tinggi akan mengundang kesan domino yang buruk.

Kesannya bukan sahaja melibatkan pembinaan berskala besar tetapi turut membabitkan projek skala kecil seperti pengubahsuaian rumah.

Sektor pembinaan sangat penting kepada negara kerana ia sebahagian daripada enjin pertumbuhan ekonomi yang memberikan banyak peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat negara ini.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), Datuk Azman Yusoff, simen diibaratkan seperti minyak, jika harga bahan bakar itu naik maka ia memberi kesan besar kepada harga barang.

Kenaikan harga simen akan menyebabkan harga bahan binaan yang lain turut meningkat dan sudah tentu banyak projek kerajaan dan swasta bakal mengalami masalah kerana kos yang meningkat secara mendadak.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) pula meramalkan harga rumah kos rendah juga akan meningkat jika harga simen naik seperti yang dilaporkan media.

Nampaknya syarikat-syarikat pengeluar simen begitu berani mengeluarkan notis untuk menaikkan harga simen tanpa memaklumkan kepada kerajaan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan syarikat yang menghasilkan simen ini tidak boleh sewenang-wenangnya meningkatkan harga simen tetapi perlu mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kelmarin, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah mengarahkan notis dikeluarkan kepada 19 buah syarikat pengeluar simen untuk memberikan penjelasan.

Kita berharap kerajaan bertegas dalam perkara ini kerana tindakan syarikat pengeluar simen itu boleh diibaratkan sebagai kaduk naik junjung apatah lagi apabila salah sebuah daripada syarikat pengeluar dikatakan menguasai 85 peratus daripada bekalan simen Malaysia.

Jika benar wujud monopoli dalam pengedaran simen sehingga mereka menentukan harga simen maka pihak Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) juga perlu menjalankan tugas dan menyiasat perkara ini.