Pemain senior pengaruhi prestasi cemerlang Siti Zulaikha

Siti Zulaikha. - Foto Stadium Astro
A
A

PENYERANG meningkat naik skuad hoki wanita negara, Siti Zulaikha Hussin mengakui motivasi daripada pemain senior mempengaruhi prestasi cemerlangnya sepanjang kempen Kejohanan Siri Final Wanita FIH 2019 di Ireland baru-baru ini.

Beraksi di pentas antarabangsa buat julung kali dalam kariernya, Siti Zulaikha berkata nasihat daripada pemain lebih berpengalaman membantu membina keyakinannya, serta meningkatkan tahap fokus menghadapi perlawanan.

“Untuk hilangkan rasa gemuruh saya selalu bertanya dan dapatkan nasihat daripada senior. Ini merupakan penampilan sulung saya di peringkat dunia, jadi mereka banyak bantu naikkan keyakinan saya.

“Alhamdulillah selepas perlawanan pertama dengan Ireland, semangat dan keyakinan saya bertambah dan ia terus meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.

Siti Zulaikha meledak tiga gol termasuk satu dalam aksi pembukaan berdepan Ireland, sepanjang kempen berlangsung yang menyaksikan Malaysia muncul tempat ketiga selepas menewaskan Republik Czech 3-0 dalam playoff tempat ketiga dan keempat, Ahad lepas.

Siti Zulaikha optimis masih banyak yang perlu dipertingkatkan terutama dari segi sentuhan permainan, untuk membolehkan beliau kekal berada di dalam skuad kebangsaan.

“Saya akan berusaha untuk kekal dalam pasukan ini. Banyak yang perlu saya pelajari dan bagaimana untuk tingkatkan keyakinan beraksi di peringkat antarabangsa, adalah apa yang saya ingin tekankan,” tambahnya.

Sementara itu, ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dharmaraj Abdullah berpuas hati dengan prestasi ditampilkan Siti Zulaikha.

Beliau berkata, apa yang ditampilkan pemain muda bertubuh kecil itu memberinya kekuatan untuk memanggil lebih ramai pemain muda ke dalam skuad kebangsaan selepas ini.

“Beliau (Siti Zulaikha) memberi saya satu perasaan yang berlainan. Walaupun dia seorang pemain yang bertubuh kecil dan dilihat macam budak-budak, tapi dia telah bukitkan sesuatu. Banyak pasukan di sana bercakap pasal dia.

“Beliau juga memberi saya kekuatan untuk memanggil lebih banyak pemain muda dan peluang patut diberikan kepada pemain muda macam dia yang bantu kuatkan pasukan kita. Kita perlukan beberapa pemain baharu yang boleh beri pasukan nafas baharu,” katanya. - Bernama