Nasib skuad ragbi di ARC diketahui selepas piala dunia

Skuad ragbi negara - Foto Bernama
Skuad ragbi negara - Foto Bernama
A
A
A

NASIB skuad ragbi negara, sama ada kekal di Divisyen Premier Kejohanan Ragbi Asia (ARC) atau tidak pada tahun depan, hanya akan diketahui selepas Piala Dunia Ragbi (RWC) 2019 di Jepun, yang bermula September ini.

Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) menerusi kenyataan berkata, Malaysia yang sepatutnya tersingkir ke Divisyen 1 selepas sah menduduki tangga terakhir Divisyen Premier 2019, masih ada peluang untuk kekal pada saingan teratas itu.

“Sekiranya pasukan nombor satu Asia, Jepun berada di kedudukan 12 terbaik di RWC 2019, maka kemungkinan pasukan Malaysia akan kekal dalam Divisyen Premier tetapi bergantung kepada pasukan Filipina, Juara Divisyen 1 2019 sama ada mahu atau tidak bermain playoff melawan pasukan Malaysia.

“Perkara ini telah dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Ragbi Asia yang telah berlangsung pada 1 dan 2 Jun di Chinese Taipei,” menurut kenyataan itu.

Mesyuarat tersebut dihadiri Presiden KRM, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Skuad Bunga Raya yang menghuni ranking ke-48 dunia itu, sah menamatkan saingan di tempat terakhir untuk musim kedua berturut-turut apabila tewas dalam kesemua tiga perlawanan setakat ini.

Malaysia memulakan kempen musim ini dengan kekalahan teruk 14-52 kepada Korea Selatan (ranking ke-30 dunia) di Stadium Namdong Asiad di Incheon, Korea Selatan, pada 18 Mei lalu diikuti kekalahan 16-38 pada perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, dua minggu kemudian.

Pada Sabtu lalu, skuad Bunga Raya kendalian bekas pemain ‘All Blacks’, Brad Mika tewas 30-25 kepada Hong Kong di Stadium Bola Sepak Hong Kong, manakala aksi kedua di antara kedua-dua pasukan akan berlangsung di Stadium Nasional pada Sabtu ini.

Artikel Berkaitan:

Malaysia layak ke Liga Premier pada 2017 selepas menjuarai Divisyen 1 dan tahun lalu menamatkan saingan di tangga tercorot dan kekal di Liga Premier musim ini berikutan perubahan format pertandingan.- Bernama