Jenazah Mursi dikebumikan di Kaherah

Kawasan tanah perkuburan awam Al-Wafaa Wa al-Amal, bandar Nasr, timur Kaherah di mana Mursi dilaporkan dikebumikan awal hari ini. - Foto AFP
Kawasan tanah perkuburan awam Al-Wafaa Wa al-Amal, bandar Nasr, timur Kaherah di mana Mursi dilaporkan dikebumikan awal hari ini. - Foto AFP
A
A
A

KAHERAH - Jenazah bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi yang meninggal dunia di mahkamah semalam, dikebumikan di Kaherah hari ini, kata anak lelakinya.

Menerusi laman Facebook, anak Mursi, Ahmed berkata, jenazah bapanya dikebumikan awal pagi tadi di tanah perkuburan awam Al-Wafaa Wa al-Amal, bandar Nasr, timur Kaherah di sisi tokoh kanan gerakan Ikhwanul Muslimin yang lain.

Difahamkan, pengebumian Mursi hanya dihadiri ahli keluarga terdekat selepas pihak berkuasa enggan memberi kebenaran pengebumian di kampung halamannya di wilayah Sharqiya, terletak di Delta Nil.

"Kami memandikan jenazahnya di hospital Penjara Tora dan melakukan solat jenazah, pengebumian dijalankan dengan bimbingan Ikhwanul Islam," kata Ahmed.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya doakan Mursi ditempatkan bersama golongan beriman: Erdogan

Peguam Mursi,Abdel Moneim Abdel Maksoud mengesahkan pengebumian dijalankan di tanah perkuburan awam tersebut awal hari ini.

Mursi, yang merupakan tokoh terkenal dalam gerakan Ikhwanul Muslimin menjadi Presiden pertama Mesir yang dilantik secara demokratik pada tahun 2012, setahun selepas Arab Spring yang menyaksikan berakhirnya pemerintahan bekas Presiden Hosni Mubarak selama 30 tahun.

Beliau digulingkan pada Julai 2013 ekoran protes besar-besaran dan rampasan kuasa tentera yang diketuai Presiden Mesir kini, Presiden Abdel Fattah al-Sisi yang menyaksikan penahanan segera Mursi. - Al Jazeera

Artikel Berkaitan: