Kerajaan kaji kategorikan pencerobohan privasi sebagai jenayah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ditemubual pemberita semasa majlis ramah mesra bersama warga kluster pengurusan kehakiman dan perundangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) hari ini. - Foto Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong ditemubual pemberita semasa majlis ramah mesra bersama warga kluster pengurusan kehakiman dan perundangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Bangunan Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan untuk mengkategorikan pencerobohan privasi sebagai kesalahan jenayah selain memperkenalkan undang-undang anti intipan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Merujuk kepada insiden penyebaran video intim didakwa membabitkan seorang menteri yang tular baru-baru ini, Liew berkata beliau sedang meneliti perkara itu sebagai pencerobohan privasi.

"Kita semua mempunyai privasi sama ada anda suka atau tidak. Kita semua mahu memastikan privasi kita dilindungi dan tidak boleh diceroboh," katanya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) JPM, di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai penerbitan dan pengedaran video intim dari perspektif undang-undang Liew berkata, beliau juga telah menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji penggubalan undang-undang bagi membendung amalan tidak sihat itu.

"Ini bertujuan untuk melindungi masyarakat, terutama wanita dan kanak-kanak, daripada menjadi mangsa jenayah itu," katanya.

"Ini adalah masa untuk kita mengkajinyai kerana terdapat juga kesalahan yang kita lihat kebelakangan ini, seperti antara teman wanita dan teman lelaki apabila lelaki mengambil gambar gadis itu dan menyebarkannya di media sosial untuk menggugut gadis itu.

"Ia juga boleh berlaku apabila seseorang merakamkan video beberapa aksi pasangan tertentu dan kemudian menggunakan video tersebut untuk menggugut orang berkenaan," katanya.

Terdahulu, Liew telah mencadangkan satu undang-undang diperkenalkan untuk mengkategorikan perbuatan intip, mengintai atau mengintip gerak-geri orang lain sebagai kesalahan jenayah.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) bagi pelantikan utama awam, Liew berkata setakat ini, tidak ada rang undang-undang yang akan dibentangkan di Parlimen berhubung perkara itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata bahawa Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika Jawatankuasa Khas Parlimen yang ditubuhkan bagi pelantikan utama awam hendak berfungsi secara sah mengikut undang-undang. - Bernama