Kedudukan Haziq belum dimuktamad: KSU

Datuk Dr Tan Yew Chong
Datuk Dr Tan Yew Chong
A
A
A

PUTRAJAYA - Status perkhidmatan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai setiausaha sulit kanan (SUSK) kepada timbalan menteri industri utama belum dimuktamadkan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama Datuk Dr Tan Yew Chong.

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin pada Khamis lepas (13 Jun) memaklumkan Haziq, yang mengaku sebagai individu dalam video intim yang dikaitkan dengan seorang menteri, digantung tugas sebagai SUSK beliau.

Haziq, yang memulakan tugas sebagai pegawai kontrak sejak Januari lepas, juga diarah untuk menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh tiga hari dari tarikh surat itu dihantar iaitu 12 Jun.

Tan bagaimanapun enggan mengulas mengenai pihak yang akan menentukan status Haziq sama ada kementerian atau timbalan menteri.

“Tunggu timbalan menteri, beliau ke Paris, ada urusan rasmi,” katanya ketika ditemui media pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Industri Utama, di sini hari ini.

Tan turut mengesahkan Haziq telah menghantar surat jawapan tunjuk sebab kepada kementerian.

Sebuah portal berita melaporkan Haziq telah memberikan surat jawapan tunjuk sebab pada Jumaat lepas dan pihak kementerian sedang meneliti surat tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: