Laporan, syor dipersembah kepada Agong pada September ini

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Laporan akhir dan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong awal September ini.

Pengerusi RCI Tun Arifin Zakaria berkata laporan dan syor itu adalah hasil dapatan daripada 17 sesi pendengaran membabitkan 48 saksi yang memulakan prosiding sejak 17 April lepas.

"Selepas 17 hari, sesi pendengaran kita tangguhkan hari ini yang membolehkan kami bermesyuarat bagi menyediakan laporan tersebut.

"Kami ada dua bulan untuk tujuan itu, dan InsyaAllah kita dapat persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) pada awal September," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan sesi terakhir RCI itu hari ini, Arifin berkata setakat ini beliau berpuas hati dengan perjalanan dan dapatan daripada prosiding tersebut.

Beliau juga mengakui polis telah melakukan yang terbaik dan termampu dalam mengendalikan kes tersebut termasuk dalam proses perjalanan RCI.

"Cuma ada beberapa perkara seperti kita mahukan saksi daripada Thailand tetapi tidak mendapat kerjasama sebaiknya...ia sukarkan kita dalam mendapat gambaran menyeluruh.

"Bagaimanapun, secara asasnya saya berpendapat sasaran penubuhan RCI tercapai, yang memudahkan kita kemukakan cadangan seperti penambahbaikan yang perlu dilakukan dalam pengawalan sempadan serta kerjasama dengan pihak antarabangsa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada syor itu akan dijadikan dokumen awam, Arifin yang juga bekas Ketua Hakim Negara berkata pihaknya menyerahkan kepada kerajaan untuk menentukan hal tersebut.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi RCI yang juga bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai berkata keputusan sama ada kes itu perlu dibuka semula bergantung kepada dapatan dan perbincangan anggota suruhanjaya selepas ini.

RCI yang diperkenan penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lepas itu berlangsung di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini yang diubah suai seperti mahkamah.

Ia diadakan susulan penemuan 139 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

RCI itu antara lain diadakan bertujuan meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan dengan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian. - Bernama