Cuepacs tidak setuju penubuhan Suruhanjaya PBT

Azih Muda - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Azih Muda - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengulangi pendirian tidak bersetuju dengan cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menubuhkan Suruhanjaya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, ini kerana penubuhan suruhanjaya itu dilihat tidak selari dan akan memberi kesan berlainan daripada apa yang dihasratkan kesatuan berkenaan.

Katanya, apa yang dihasratkan Cuepacs adalah supaya peluang penambahan kenaikan pangkat dan penambahan kerjaya.

"Kalau semua ini (kenaikan pangkat dan penambahan kerjaya) sudah ada maka kita tidak perlu kepada Suruhanjaya PBT lagi.

"Mungkin dari segi penempatan dan pertukaran kita setuju supaya penggiliran berlaku dalam PBT itu sendiri. Bukan pertukaran ini dibuat antara PBT dengan PBT (sekiranya Suruhanjaya PBT di wujudkan).

"Perkara inilah yang akan timbulkan masalah baharu kerana pekerja-pekerja ini kena cari penginapan baharu, kena tinggalkan ahli keluarga mereka, berulang-alik dari rumah ke tempat kerja dan ini akan menyebabkan prestasi kerja akan menurun jatuh dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri Majlis Sambutan Raya Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Penguasa- penguasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) di Jalan Raja Bot di sini hari ini.

Jelas Azih lagi, dasar yang sedia ada kini telah mencukupi dan hanya perlu ditambah baik tetapi bukannya dengan mewujudkan suruhanjaya itu.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kerajaan dilaporkan akan mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan PBT sebagai salah satu transformasi yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan terhadap PBT di negara ini.