Anak hilang di KLIA selamat pulang ke rumah

Kehilangan remaja itu tular di media sosial termasuk WhatsApp sejak semalam.
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang ibu menarik nafas lega apabila anak lelaki berusia 16 tahun dan dipercayai hilang ketika tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) semalam ditemui selamat.

Rabaah Ramly berkata, dia sekeluarga bersyukur apabila anaknya, Muhammad Najmul Hadi yang belajar di sebuah pondok agama di Surabaya, Indonesia selamat tiba di rumah mereka di Kampung Kesang Tua, Jasin lebih kurang jam 1.30 petang tadi.

Menurutnya, dia dan suaminya yang berada di KLIA dihubungi kakaknya dan memaklumkan anaknya dihantar pulang oleh seorang individu, bagaimanapun tidak mengenali dan tiada maklumat mengenai individu terbabit.

"Saya tiba di KLIA tengah hari tadi dan mahu membuat laporan polis berhubung kehilangan anak termasuk mendapat kebenaran pihak berkenaan untuk melihat rakaman kamera litar tertutup CCTV di lapangan terbang berkenaan.

"Bagaimanapun kakak menghubungi saya dan memberitahu Muhammad Najmul Hadi dihantar pulang oleh seseorang. Apa pun saya bersyukur walaupun masih tertanya-tanya siapa individu yang menghantar anak remaja saya itu. Apa yang penting anak selamat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini hari ini.

Rabaah yang bertugas sebagai guru berkata, anaknya sepatutnya tiba dari Indonesia ke tanah air semalam sebelum gagal dihubungi dan kemudian kehilangan anaknya itu tular di media sosial termasuk Facebook dan aplikasi WhatsApp.

"Sebenarnya anak saya pulang ke Malaysia untuk menyelesaikan beberapa urusan dan ini pertama kali dia tidak dapat dihubungi sejak bersekolah di negara jiran dan tidak mempunyai sebarang masalah dengan keluarga.

"Sebagai ibu saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk yang menularkan kes kehilangan anak saya," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia