Ibu bapa dakwa hospital cuai ketika rawat anak

Naurah Zulaikha masih lagi menerima rawatan.
Naurah Zulaikha masih lagi menerima rawatan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasangan suami isteri dari Felda Tenggaroh 1, Mersing melahirkan rasa kecewa dengan perkhidmatan dan layanan yang diberikan terhadap anaknya ketika menerima rawatan di dua hospital awam di bandar raya ini.

Nizam Zaki Zainal, 30 dan Siti Masiyah Mohmad, 30, mendakwa, mereka mengesyaki pihak hospital tersalah memberi ubat terhadap anaknya, Naurah Zulaikha, 5, menyebabkan kanak-kanak itu kini terpaksa menjalani rawatan hemodialisis selepas buah pinggangnya rosak.

Menurut Nizam Zaki, anak sulung daripada dua beradik itu dimasukkan ke Hospital Mersing selama tiga hari pada 26 Mei lepas kerana kepalanya ditumbuhi bisul sebelum dihantar ke hospital lain di bandar raya ini untuk menjalani pembedahan bagi membuangnya.

“Saya dimaklumkan doktor anak saya boleh keluar, tapi diberitahu jururawat dia kena dihantar ke hospital awam lain untuk rawatan susulan. Di situ anak saya diberikan pelbagai jenis antibiotik dan sejenis ubat yang dikatakan untuk kulit.

“Sepanjang 11 hari terima rawatan, anak saya berada dalam keadaan sihat dan aktif. Cuma pada 13 Jun lepas, dia diserang demam panas yang tinggi sebelum doktor mengesahkan dijangkiti dua jenis kuman agresif dua hari lepas,” katanya.

Pemandu lori itu juga mendakwa, kuman tersebut telah menyerang buah pinggang dan hati anaknya dan turut berisiko untuk menyerang organ dalaman lain.

“Saya sedih sebab kini anak saya terpaksa jalani rawatan hemodialisis bagi merawat buah pinggangnya yang telah rosak.

“Saya rasa tidak puas hati dan ada bertanya adakah ia disebabkan terlalu lama menerima antibiotik atau tersilap makan ubat? Tapi pihak hospital menafikan kecuaian mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Nizam Zaki menambah, dia bertambah bimbang apabila anaknya kini tidak memberi reaksi terhadap cahaya dan dikhuatiri berlaku pendarahan dalam otak pula.

“Pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendapatkan puncanya. Saya bertambah ralat, sepatutnya anak saya dah boleh keluar hospital, kenapa dia perlu ditahan lagi. Kalau tak mungkin tak jadi begini.

“Namun saya reda dengan ketentuan Ilahi, mungkin ini ada ujian untuk saya dan keluarga. Saya harap perkara ini dapat memberi pengajaran kepada ibu bapa lain. Saya harap orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan untuk anak saya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Selahuddeen Abdul Aziz berkata, sebarang ketidakpuasan hati boleh disalurkan butirannya kepada hospital yang berkenaan.

“Boleh buat aduan kepada pihak berkenaan dan kita akan siasat sama ada berlaku kecuaian atau sebaliknya,” katanya yang memberitahu akan menyiasat kes tersebut.