‘Dah macam negara depa’

Keadaan sampah yang berselerak didakwa dibuang oleh warga asing.
Keadaan sampah yang berselerak didakwa dibuang oleh warga asing.
A
A
A

TELOK AIR TAWAR - Kehadiran ratusan warga asing yang menyewa di beberapa rumah di Taman Telok Molek di sini menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk tempatan.

Bukan sekadar tidak selesa, malahan kehadiran warga asing itu juga didakwa merubah suasana di taman ini

Penduduk, Suriah Husin Merican, 65, berkata, suasana di sini seperti tempat warga asing sendiri dengan keadaan bising dan kelakuan mereka.

"Saya percaya ada kilang yang menyewa rumah ini kepada pekerja yang terdiri daripada warga asing. Bayangkan kadang-kadang bila malam mereka nak sembang, terjerit-jerit dari satu rumah ke rumah lain, memang bising.

"Suasana seolah di negara mereka sendiri, mereka langsung tak pedulikan penduduk tempatan yang menetap di sini," katanya.

Katanya, kadang-kala bila petang hujung minggu warga asing ini duduk bersembang di tengah jalan berhampiran rumah yang disewa.

"Kita bawa kereta, lalu nampak depa duduk di tengah jalan, kita pula kadang-kadang kena elak depa, tu kalau jadi apa-apa siapa nak tanggungjawab.

"Memang sangat tak selesa, sebab depa ramai, saya rasa hampir ratusan warga asing yang sewa di sini, mungkin ini hostel mereka yang kilang tempat kerja mereka sewakan untuk warga asing ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Penduduk, Mansor Nyak Amin, 69, berkata, bas yang mengambil warga asing di sini juga seperti tidak mempedulikan keselamatan penduduk di taman ini.

"Ada sekali tu isteri saya tengah menyapu di depan rumah, tiba-tiba ada bas datang, sudahlah laju, langsung tak perlahan di depan rumah orang.

"Nasib baik isteri saya sempat elak. Dah tau ini kawasan taman perumahan, patutnya perlahankan sikit bas tu," katanya.

Sampah berselerak

Penduduk, B Rajan, 49, berkata, tindakan warga asing ini yang meletakkan bungkusan sampah tanpa mengikatnya dengan sempurna mencacatkan pemandangan dan kebersihan di taman ini.

"Sampah kadang-kadang mereka ikat dan paling teruk mereka tak ikat langsung, sekadar letak macam tu saja depan rumah. Jadi sisa-sisa sampah mereka kadang-kadang tumpah dan dilarikan burung gagak," katanya.

Katanya, dirinya berharap perkara ini dapat diambil perhatian serius oleh pihak berwajib.

"Kita faham hak nak bagi sewa tu hak pemilik, tapi kena sedia maklum kawasan sini ramai orang tempatan, warga asing ni tak macam kita.

"Puluhan tahun saya dan penduduk lain tinggal di sini dengan selesa, bila jadi macam ini, dah jadi tak seronok, jangan la macam ini. Saya harap sangat ada pihak yang sudi melihat dan mengatasi masalah yang kami hadapi ini," katanya.

Dalam pada itu, Adun Telok Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad berkata, perkara ini telah dibawa dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah untuk diambil tindakan selanjutnya.

"Kita telah menerima aduan daripada penduduk. Insya-ALLAH kita akan segera cari jalan atasi perkara ini," katanya.