Lebar, turap jalan sedang dijalankan

Ahmad Khair Faizal (dua, kiri) dan Khairul Anuar (kiri) meninjau keadaan Jambatan Kampung Tawas yang berlubang dan ditutup kepada orang ramai.
Ahmad Khair Faizal (dua, kiri) dan Khairul Anuar (kiri) meninjau keadaan Jambatan Kampung Tawas yang berlubang dan ditutup kepada orang ramai.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedang menyegerakan kerja-kerja melebar dan menurap jalan alternatif menggantikan Jambatan Kampung Tawas yang mengalami kerosakan serta berlubang.

Ahli Majlis MBI, Ahmad Khair Faizal Yahaya berkata, tindakan segera telah diambil sebelum penduduk Taman Tawas Mewah membangkitkan isu tersebut malah kelulusan juga telah dibuat bagi kerja-kerja menyelenggara jalan alternatif itu.

Menurutnya, disebabkan cuti perayaan, kerja-kerja menaiktaraf jalan alternatif itu tertangguh seketika dan ia diteruskan kembali.

"Sebenarnya tidak ada isu pun sebab semuanya sudah diambil tindakan. Sebaik-baiknya individu yang nak buat aduan boleh rujuk terus dengan ketua kampung atau ahli majlis untuk dapatkan penjelasan.

"Isu-isu yang dibangkitkan penduduk di dalam akhbar mengenai jalan alternatif ini semuanya kita sudah dapatkan kelulusan daripada pihak berkaitan. Kita akan pasang lampu, lebar dan turap jalan itu. Semuanya dah selesai," katanya kepada pemberita ketika meninjau jambatan tersebut, di sini semalam.

Hadir sama meninjau lokasi tersebut, Pengarah Kejuruteraan Bandar raya MBI, Khairul Anuar Lodin.

Sementara itu, Ahmad Khair Faizal berkata, pihaknya turut kesal dengan tindakan individu tertentu yang mengalihkan penghadang jalan seterusnya membuka jambatan tersebut kepada orang ramai.

Katanya, tindakan itu disifatkan tidak wajar memandangkan ia akan mendedahkan risiko kepada pengguna jambatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Apabila notis diberikan perlu akur dengan nasihat itu demi keselamatan semua pihak dan ikut laluan alternatif yang disediakan. Saya sarankan patuhilah nasihat dan ketetapan yang dibuat oleh MBI.

"Laluan yang dibuka semula oleh pihak tertentu ini akan ditutup semula. Mungkin kita akan letak penghadang jalan batu supaya tidak lagi dialih," katanya.

Sebelum ini, beberapa penduduk Taman Tawas Mewah menyuarakan masalah yang dihadapi berkaitan jalan alternatif tersebut antaranya keadaan jalan yang sempit, gelap dan tidak sempurna.