Menghormati orang lain

Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom
Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom
A
A
A

DALAM negara Malaysia yang bermasyarakat majmuk, adalah menjadi cabaran bagi semua kaum yang menganuti pelbagai agama dan kepercayaan untuk hidup dalam keadaan rukun dan damai.

Pergolakan sosiopolitik yang sentiasa wujud dalam negara yang bergerak maju mestilah diurus dengan penuh kebijaksanaan, keadilan dan ketegasan.

Sebelum kita melanjutkan perbincangan ringkas ini, marilah kita fikirkan maksud sepotong ayat al-Qur’an dari surah al-Ḥujurāt 49: 11 yang tertera berikut ini (Al-Quran Amazing, Shah Alam: Karya Bestari, 2017):

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka (yang mempermain-mainkan), dan janganlah pula ada golongan perempuan (yang mempermain-mainkan) perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka perempuan (yang mempermain-mainkan). Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran (buruk). Seburuk-buruk panggilan adalah kefasikan setelah beriman. Dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang zalim.”

Seterusnya kita tafakurkan pula maksud Sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Dailami:

“Orang mukmin itu sentiasa di ambang lima dugaan yang susah, mukmin yang dengki padanya, orang munafiq yang benci kepadanya, orang kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkan dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya.”

Maksud Hadis di atas dinukil daripada buku Yazid Haji Maarof dan Mohamad Kamil Ab Majid yang berjudul “Pembelajaran Islam Amali: Panduan Fiqh Jinayat.” Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015. Halaman 128.

Dari ayat al-Qur’an serta Hadis di atas, kita diingatkan supaya tidak memperolok-olokkan serta menghina orang lain. Orang mukmin sejati pula mestilah bersiap siaga kerana ia berdepan dengan pelbagai dugaan yang muncul daripada pelbagai jenis manusia.

Artikel Berkaitan:

Banyak bahan penulisan dari khazanah agama-agama di dunia yang boleh kita rujuk tentang penghormatan atau rasa hormat kepada orang lain. Dalam banyak sesi perbincangan dan pengajaran, saya suka mendalami falsafah hayat agama-agama lain dengan dua tujuan.

Pertama adalah untuk terus mengukuhkan pertalian kewargaan sesama kita rakyat Malaysia supaya dapat saling menghormati menerusi usaha memahami isu-isu silang budaya dan silang agama.

Kedua, supaya generasi muda yang saya ajar sewaktu kuliah-kuliah psikiatri dan perubatan prasiswazah atau pascasiswazah dapat dipimpin dan didedahkan kepada dialog antara kepercayaan dan keagamaan.

Sudah tentu, dengan bercambahnya aktiviti seperti ini, akan lebih ramailah rakyat Malaysia yang boleh menginsafi betapa pentingnya kita perlu memahami satu sama lain lantas mencari langkah-langkah yang positif untuk memupuk semangat kebersamaan dalam negara yang tercinta ini.

Bila saya layari internet, saya telah mendapati maklumat yang terperinci tentang istilah “respect” dalam “Guide to Buddhism A to Z” (http://www.buddhisma2z.com/content.php?id=339. Rujukan pada 14 Jun 2019). Ringkasan saya dalam bahasa Melayu adalah seperti berikut berkaitan dengan istilah yang saya terjemahkan sebagai “hormat”:

Hormat (apaciti, cittīkāra atau gārava) ialah satu perasaan mengagumi terhadap kebaikan serta pencapaian seseorang dan menzahirkan perasaan itu menerusi lisan dan perbuatan. Istilah “respect” dalam bahasa Inggeris adalah daripada istilah Latin “re spectum” yang bermakna lihat kembali atau lihat secara teliti. Setelah kita berfikir tentang orang yang pertama kali kita kenal dan mengambil masa untuk menimbang kembali sifat-sifatnya, maka barulah kita dapat menghormatinya dengan baik.

Gautama Buddha menyatakan bahawa kebolehan untuk berasa hormat adalah satu keberkatan yang besar. Perbezaan agama, harta orang lain, binatang, serta sikap berdisiplin dan ketamuan (hospitality) adalah bagus untuk dihormati menurut perspektif agama Buddha.

Sebagai kesimpulan, kita wajib terus mengukuhkan usaha kemakrufan yang dilakukan oleh mereka yang berakhlak mulia. Walaupun dengan penuh kepayahan, kemakrufan akhirnya dapat menewaskan kemungkaran yang sengaja dilakukan oleh golongan yang jahat dalam masyarakat.

* Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP