Sistem pendidikan BN yang parah

A
A

BARU-baru ini, saya dijemput untuk melatih sekumpulan 16 pendakwah yang sudah pun lulus daripada pelbagai universiti IPTA.

Mereka berumur antara 25-30 tahun, bekas pemimpin pelajar. Mereka ini ialah produk sistem pendidikan kerajaan lama.

Majoriti besar ialah graduan ijazah yang berkait dengan pengajian Islam. Mereka ini terpilih untuk mengikuti latihan khas selama tiga bulan.

Apa yang mengejutkan tentang thinktank ini ialah bila kesemua ditanya tentang kemampuan bahasa mereka, hanya seorang yang berkata dia mampu berbahasa Arab. Hanya dua orang yang berkata dia mampu berbahasa Inggeris. Ada juga yang berkata mereka mampu berdialek Kelantan! Sudah tentu kesemua mereka begitu yakin untuk umumkan yang mereka mampu berbahasa Melayu!

Kita bayangkan senario lain. Andaikan semua pendakwah ini grad ijazah Kesusasteraan Inggeris, sudah tentu anda akan rasa pelik dan meragui kepakaran mereka dalam sastera Inggeris jika mereka tidak berbahasa Inggeris!

Demikian juga bila graduan ijazah pengajian Islam yang tidak mampu berbahasa Arab. Bagaimana boleh grad ijazah pengajian Islam yang bakal digelar ustaz tetapi tidak mampu berbahasa Arab yang merupakan lingua franca ilmu usuluddin, usul fiqh dan tafsir? Ini akan melahirkan ustaz-ustaz yang keliru dalam takfir!

Masalah sistem pendidikan bukan setakat parah ke tahap ini. Bahkan ia jauh lebih parah lagi. Saya dapati thinktank yang terpilih ini juga tidak dapat kaitkan apa yang mereka belajar di universiti dan dunia realiti.

Saya telah memberi soalan yang sama kepada setiap seorang daripada mereka ini. Soalan pertama ialah" Apakah maksiat yang paling besar? Dan soalan kedua ialah; Apakah ancaman yang anda rasa paling besar bagi anda? Kedua-dua soalan ini jelas berkait antara satu sama lain.

Maksiat yang paling besar dalam carta berdasarkan borang selidik yang semua isi ialah zina. Seorang sahaja sebut syirik. Tetapi ancaman paling besar baginya ialah kena tengking dan marah!

Jelas satu-satu pendakwah trainee yang sebut syirik pun sebenarnya tidak faham dan tidak mendalami makna syirik. Mengapa maksiat paling besar baginya ialah syirik tetapi ancaman paling besar baginya pula ialah kena tengking?

Sepatutnya kalau maksiat paling besar ialah syirik, maka ancaman paling besar ialah apa-apa budaya yang membawa kepada syirik.

Kita lihat sistem pendidikan bukan sekadar gagal memberi pendidikan asas agama kepada pelajar tetapi gagal mendidik intelektualiti pelajar sampai ke tahap mereka mampu menjelaskan idea-idea yang mereka belajar di sekolah, universiti dan relevannya dengan isu-isu semasa negara dan kemanusiaan.

Contohnya, kita perlu tanya mengapa zina menjadi maksiat paling besar sekali dalam carta dan bukan syirik? Apa punca mindset maksiat ini? Bila kita selidik lagi maksiat-maksiat lain dalam carta, rupanya tangga kedua dan seterusnya adalah membunuh dan merompak.

Kita lihat mindset maksiat ini cenderung untuk mendefinisikan maksiat dalam erti yang berkait dengan jenayah-jenayah yang boleh dikenakan hukuman hudud.

Maknanya pendakwah terpilih ini sebenarnya berjaya di brainwash oleh slogan-slogan parti politik yang menjual hudud dengan propaganda bahawa langkah utama Islamisasi adalah melaksanakan hudud dalam apa keadaan sekalipun.

Sesiapa yang memperjuangkan Rahmatan Lil-'Aalamiin adalah liberal atau kafir.

Saya lihat pendakwah terpilih ini tidak kaitkan maksiat dengan syirik atau melihat syirik sebagai ancaman paling besar kerana beberapa sebab. Yang pertama, mereka terpengaruh dengan propaganda hudud oleh parti politik berjubahkan Islam.

Kedua, kerana mereka tidak mampu kaitkan maqasid syariah dengan hudud. Ketiga, kerana mereka tidak dilatih untuk membaca relevannya teori syirik dengan isu-isu semasa sosio-politik.

Inilah yang menjadi motif utama mengapa Prof Ismail Raji Al-Faruqi menulis kitab Tawhid: Its Implications For Thought and Life. Kitab ini membincangkan aplikasi konsep tauhid dalam setiap aspek kehidupan praktis dan realiti semasa. Tetapi kitab ini ditulis dalam bahasa Inggeris ilmiah tinggi. Pendakwah terpilih di atas tidak akan dapat memanfaatkan kitab ini.

* Abdul Naser Tun Rahman ialah Ketua Kluster Silang Budaya NUIM-YADIM


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.