Undang-undang lompat parti bagi kekalkan integriti: Bung Moktar

Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
A
A
A
KUALA LUMPUR - Perbuatan wakil rakyat melompat parti mengelirukan rakyat yang memilih mereka, kata Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, undang-undang anti-lompat parti perlu diwujudkan bagi mengekalkan integriti dan moral wakil rakyat yang dipilih.

"Kita ingin melihat wakil rakyat benar-benar bertanggungjawab kepada rakyat, kawasan dan negara. Sudah tiba masanya untuk kerajaan Pakatan Harapan merealisasikan hasrat rakyat dengan membawa akta ini ke Dewan Rakyat.

"Jika tidak, perbuatan lompat parti ini menjadi trend, seolah-olah mereka yang kalah pada pilihan raya boleh menyertai parti yang menang, seperti mengambil kesempatan dalam kesempitan orang lain," katanya ketika menjadi tetamu program temubual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, malam tadi.

Beliau yang baharu dilantik sebagai pengerusi Umno Sabah berkata dirinya akan setia bersama parti itu dan terus berjuang untuk membantu mengukuhkan kembali Umno dengan nafas baharu.
Artikel Berkaitan:


Cadangan bagi menggubal Akta Anti L ompat Parti sebelum ini disuarakan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, turut senada dengannya adalah Senator Datuk Lee Tian Sing yang menggesa kerajaan agar menggubal akta berkenaan bagi memastikan kesetiaan dan integriti wakil rakyat kepada pengundi mereka.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Asia Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Faisal S. Hazis berkata isu keluar parti secara beramai-ramai bukan perkara baharu kerana wujudnya permainan politik penaungan dan menjadi lumrah dalam proses peralihan kuasa.

Malaysia perlu mempunyai undang-undang bagi mendisplinkan ahli politik negara namun ianya perlu mengambil kira Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa semua warganegara berhak untuk membentuk persatuan. - Bernama