Kuat kuasa cukai soda selepas Aidilfitri

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MUJUR kerajaan tangguhkan pengenalan duti eksais (cukai soda) minuman bergula yang sepatutnya dimulakan pada 1 April lalu ditunda kepada 1 Julai 2019.

Jika tidak pasti ramai pengguna merungut sambutan Aidilfitri hambar kerana kos minuman manis meningkat.

Tidak dinafikan, sebaik kerajaan memperkenalkan cukai tersebut, pelbagai reaksi diterima termasuk warganet yang menjangkakan jualan minuman bergula meningkat, malahan ada yang mempersendakan langkah pihak kerajaan.

Tidak terkecuali, Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) tampil menggesa kerajaan supaya mempertimbangkan penangguhan pelaksanaan cukai tersebut kerana mereka memerlukan lebih masa untuk merancang dan menyesuaikan perniagaan.

Ia termasuk merumuskan semula produk sedia ada atau memperkenalkan minuman baharu kurang gula iaitu pada paras tidak melebihi lima peratus untuk pengecualian cukai berkenaan.

Pengumuman mengenai perkara itu dibuat pada tahun lalu oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019.

Katanya, kadar cukai 40 sen seliter akan dikenakan terhadap minuman bergula yang dikilangkan dalam bentuk pembungkusan sedia diminum.

Ia melibatkan minuman bergula tambahan atau bahan pemanis melebihi 5 gram per 100 mililiter; serta jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

Artikel Berkaitan:

Isu pelaksanaan cukai soda itu bukan sahaja berkait dengan kenaikan harga baharu bagi jualan minuman bergula sebanyak 40sen/liter tetapi ia turut melibatkan pengeluaran permit import (AP) yang dijangka memberikan kesan negatif kepada perolehan Malaysia Holdings Berhad (MSM).

Menurut laporan media, ia memberi tekanan kepada hasil MSM bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2019 yang merosot 12 peratus kepada RM485.62 juta berbanding RM549.06 juta pada 2018.Di satu sudut lain pula, usaha positif kerajaan menjaga kesihatan rakyat tidak harus dinafikan.

Walau macam mana mahal sekalipun harga minuman bersoda selepas ini, jika rakyat memang penggemar minuman itu, mereka tetap berbelanja kerana ia sudah menjadi kebiasaan mereka.

Naikkanlah berapa pun harga, tetap ada yang membeli cuma mungkin kali ini kuantiti yang dijual mungkin akan berkurang sedikit.