Kerajaan persembah cadangan kepada Raja-raja

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (tiga, kanan) berkenan mendengar taklimat mengenai tiga naskah al-Quran lama daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (dua, kiri) selepas Majlis Mengadap di Balai Menghadap Biru Istana Arau hari ini. - Foto Bernama

A
A
A

KANGAR - Kerajaan akan menghadap Majlis Raja-raja tidak lama lagi berhubung cadangan untuk menyeragamkan undang-undang kesalahan jenayah syariah antara negeri-negeri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Pada masa ini, undang-undang berkenaan berbeza antara satu negeri dengan negeri lain.

Raja-raja adalah ketua agama di negeri masing-masing.

Sehubungan itu, Mujahid berkata kerajaan juga akan mengadakan pertemuan dengan semua menteri besar dan ketua menteri untuk penjelasan mengenai cadangan itu yang disasar dilaksanakan pada 2020.

“Kita dah maklum kepada Majlis Raja-Raja mengenai rancangan ini yang antaranya bertujuan memperkasa undang-undang syariah,” kata beliau pada majlis ramah mesra dengan ketua-ketua jabatan, tokoh-tokoh masyarakat dan badan-badan bukan kerajaan di Perlis sempena sambutan Aidilfitri di sini, hari ini.

Menurut Dr Mujahid usaha itu sebahagian komitmen kerajaan Pakatan Harapan untuk memartabatkan Islam berdasarkan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga akan menubuhkan mahkamah khas bagi mengendalikan kes-kes ibu tunggal yang menuntut hak dalam hal nafkah, harta dan lain-lain. - Bernama

Artikel Berkaitan: