Biar PDRM tentukan ketulenan video, kata Anwar

Anwar hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 anjuran Malaysian Indian Muslim Chamber Of Commerce and Industry di Dewan Sivik Petaling Jaya malam tadi. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anwar hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 anjuran Malaysian Indian Muslim Chamber Of Commerce and Industry di Dewan Sivik Petaling Jaya malam tadi. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PETALING JAYA - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesahkan ketulenan video seks mirip seorang menteri yang tular baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berikutan laporan Pertubuhan Media Australia, SBS News yang mendakwa pakar bersetuju bahawa tiada sebarang pengubahan digital dibuat terhadap video tersebut.

“Itu satu penelitian yang dibuat. Saya fikir kita serahkan kepada pelaksanaan pihak PDRM.

“Dengan itu, saya tidak mahu buat apa-apa telahan. Kita boleh baca tetapi yang sahnya kita dengar daripada pihak PDRM,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2019 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Muslim Malaysia (Mimcoin) di sini malam tadi.

Laporan media Australia itu menyatakan meskipun tidak dapat mengesahkan orang dalam video tersebut ialah menteri berkenaan namun pakar bersetuju tidak kelihatan sebarang pengubahan digital telah dibuat.

"Sekiranya ini (hasil kepintaran buatan AI) Deepfake, ia sangat baik," kata salah seorang daripada mereka, Kevin Nguyen.

Menurut SBS, Nguyen ialah pakar forensik digital yang sebelum ini berunding dan menyediakan pengesahan kandungan untuk BBC dan New York Times serta kini bekerja untuk Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Artikel Berkaitan:

Video mengaitkan menteri kanan itu tular dalam media sosial baru-baru ini malah seorang lelaki, Haziq Abdullah Abdul Aziz mengakui dia merupakan salah seorang individu dalam video tersebut.

Beliau turut menamakan menteri berkenaan dan memaklumkan rakaman itu dibuat tanpa kerelaannya dalam sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lepas.

Begitupun, menteri yang dikaitkan itu menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menegaskan ia adalah komplot jahat untuk menjatuhkan karier politiknya.