56 individu dilaporkan masih hilang di Johor

Mohd Khalil Kader Mohd
Mohd Khalil Kader Mohd
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor mengesahkan terdapat seramai 56 individu berusia di bawah 18 tahun yang masih hilang di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, angka tersebut dimaklumkan sebagai memperbetulkan laporan sebuah akhbar bahawa terdapat 143 orang hilang di Johor, baru-baru ini.

"Tidak dinafikan memang ada kes tersebut, namun untuk tujuan rekod, saya ingin membetulkan bahawa daripada 143 orang hilang yang dilaporkan di kontinjen Johor, selepas semakan dibuat, didapati berbaki 56 orang sahaja lagi.

"Polis masih meneruskan lagi untuk mengesan orang hilang ini. Siasatan mendapati daripada 143 orang hilang yang dilaporkan, seramai 87 orang sudah kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, kesemua 87 individu terbabit kembali semula ke pangkuan keluarga atas usaha pihak polis dan dengan sendiri.

"Kekangan yang berlaku adalah apabila mereka yang balik sendiri, keluarga tidak memaklumkan kepada polis. Maka itu sebab, dari segi teknikal rekod tersebut berlaku kesilapan.

"Hasil siasatan, daripada 87 orang yang sudah kembali ini, kita dapati mereka kebanyakannya keluar rumah adalah kerana mengikut rakan, kekasih ataupun tekanan perasaan akibat isu-isu kekeluargaan," katanya.

Menurutnya, selain itu, kes orang hilang terutama di negeri ini tidak ada kaitan langsung dengan video yang tular di media sosial sehingga boleh mencemaskan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Saya nak menasihatkan supaya kes orang hilang ini hendaklah ditangani dengan baik kerana banyak video yang ditularkan macam jual organ, benda itu adalah tidak benar sama sekali," katanya.