Harga telur masih sama, tidak turun

gambar hiasan
gambar hiasan
A
A
A
KLUANG - Peniaga kedai runcit di sekitar bandar Kluang mendakwa penurunan harga telur ayam seperti diumumkan kerajaan dilihat tidak dipatuhi pembekal kerana harga masih kekal sama seperti sebelum ini.

Hasil tinjauan di tiga kedai runcit di Taman Sri Lambak, Taman Sri Impian dan Taman Makmur, di sini, mendapati harga telur ayam masih dijual di antara RM13.30 hingga RM13.90 sepapan.

Seorang peniaga yang hanya dikenali sebagai Rosnah, 45, berkata, pihaknya masih menerima pada harga 42 sen sebiji dan terpaksa menjual dengan harga 45 sebiji iaitu untung hanya sekitar 90 sen sepapan.

“Saya sebenarnya pelik kenapa pembekal telur ayam untuk pasar raya besar boleh memberikan harga lebih rendah, namun tidak kepada peniaga runcit seperti saya sedangkan mereka dipercayai dari syarikat sama dan menghantar pada jumlah yang banyak setiap kali datang.

“Sebagai peniaga, kami tidak ada pilihan kerana mendapat bekalan pada harga tinggi dan pengguna menjadi mangsa daripada sikap tamak pihak bertanggungjawab yang sentiasa mengambil peluang untuk menaikkan harga barang-barang keperluan,” katanya.

Sementara itu, pengguna yang hanya dikenali sebagai Halim, 38, berkata, dia menggesa kerajaan untuk terus memantau kenaikan harga telur ayam kerana ada peniaga yang masih mengekalkan harga sama walaupun kerajaan mengumumkan penurunan sebanyak dua sen.

Katanya, alasan kenaikan harga telur ayam disebabkan penyakit selesema burung seperti diumumkan kerajaan juga amat mengejutkan kerana dia tidak pernah mendengar penularan wabak tersebut sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Ada dakwaan kenaikan seperti ini adalah perkara biasa dan dijangka turun semula selepas bekalan pulih, namun harga barang-barang keperluan harian seperti telur ayam ini naik setiap minggu dan tidak pernah diturunkan lagi.

“Tidak mustahil harga telur ayam ini akan dinaikkan lagi menjelang sambutan Hari Krismas minggu depan selain perayaan lain menjelang 2019 dan pengguna yang akan jadi mangsa nanti,” katanya.
Artikel Berkaitan: