Dua kanak-kanak mangsa dera stabil namun lemah

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Dua kanak-kanak yang dipercayai mangsa penderaan fizikal tiga beranak di Pusat Bandar Puchong berada dalam keadaan stabil walaupun masih kelihatan lemah ketika dirawat di Hospital Serdang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan timbalannya Hannah Yeoh hari ini melawat dua beradik itu yang masing-masing lelaki dan perempuan berusia tujuh dan lapan tahun di hospital tersebut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini, pemeriksaan yang lebih rapi merangkumi status kesihatan emosi mereka akan dipantau dan sesi kaunseling telah dimulakan.

Menurut kenyataan itu, seorang daripada kanak-kanak tersebut agak reaktif dan boleh berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka.

Semalam, dilaporkan tiga sekeluarga terdiri daripada seorang lelaki berusia 33 tahun bersama isteri dan anak perempuannya, masing-masing berusia 30 dan 13 tahun, ditahan bagi membantu siasatan kes mendera serta memukul dua kanak-kanak terbabit.

Menurut laporan media, siasatan polis mendapati kedua-dua mangsa tinggal bersama keluarga itu sejak tujuh tahun lepas selepas ditinggalkan ibu bapa mereka yang sudah bercerai.

Mengikut Akta Kanak-kanak 2001 berkaitan Pemeliharaan dan Perlindungan Kanak-kanak, dalam masa kanak-kanak dirawat sehingga pulih, Pelindung Kanak-kanak akan menyiasat dengan teliti sama ada terdapat Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) atau saudara mara yang mempunyai kemampuan dan keupayaan untuk melindungi dan menjaga kebajikan serta sanggup menjaga kanak-kanak.

Jika tiada yang sesuai dan layak maka kanak-kanak akan diletakkan di pusat jagaan kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau badan bukan kerajaan (NGO) mengikut kesesuaian untuk diberi penjagaan yang rapi.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan pejabat menteri itu, pihak kementerian melalui JKM memandang serius isu berkaitan penderaan kanak-kanak.

Berdasarkan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016, hukuman denda RM50,000 bersama hukuman penjara sehingga 20 tahun telah diperuntukkan bagi kesalahan mendera, mengabaikan dan menganiaya kanak-kanak.

"Kementerian berterima kasih atas keprihatinan orang ramai yang telah melaporkan kes ini dan memohon sebarang maklumat berkaitan penderaan disalurkan kepada KPWKM melalui Talian Kasih 15999 bagi tindakan selanjutnya," katanya. - Bernama