Saudara baharu jual air tampung kos rawatan isteri

Abdul Wahab tetap setia menjaga isterinya di Hospital Enche Besar Hajah Kalsom (HEBHK) Kluang.
Abdul Wahab tetap setia menjaga isterinya di Hospital Enche Besar Hajah Kalsom (HEBHK) Kluang.
A
A
A
KLUANG - Saudara baharu di Taman Rekamas, Simpang Renggam hanya mengharapkan hasil jualan air cedok di pasar malam untuk menyara kos perubatan isteri yang menghidap kanser payudara.

Abdul Wahab Mah Abdullah, 49, berkata, pada awalnya, isterinya, Situ Asmara Kamal, 50, menghidap kanser payudara pada 2015 sebelum sel kanser tersebut merebak ke otak pada September lalu.

“Pada 2 Disember lepas, dia (isteri) diserang sawan pula dan hospital sudah seperti menjadi rumah kedua kami dan saya sudah empat hari tidak berniaga kerana terpaksa berulang alik ke hospital untuk menjaga isteri.

“Saya memang mengharapkan hasil jualan air dua kali seminggu di pasar tani dan pasar malam dan dengan keuntungan tersebutlah saya menyara kos perubatan isteri dan enam anak saya termasuk dua di universiti,” katanya.

Menurutnya, walaupun keuntungan hasil jualan air cedok hanya sekitar RM200 untuk seminggu, dia mengakui jumlah tersebut tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan isterinya.

Katanya, selain kos perubatan isteri serta pembelajaran anak-anaknya, dia juga perlu menyediakan keperluan lain untuk isterinya seperti lampin pakai buang, tisu basah dan susu formula yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi.

“Alhamdulillah saya tetap bersyukur masih mempunyai sumber pendapatan walaupun terpaksa mengikat perut dan berjimat cermat asalkan semua masalah ini dapat diatasi dengan baik walaupun sesekali terputus punca kewangan kerana tidak berniaga.

“Anak-anak juga faham masalah saya dan kadang-kadang anak perempuan saya yang menjaga isteri saya di hospital kerana saya terpaksa mencari duit dan sekarang pun keadaan isteri semakin lemah,” katanya.

Menurutnya, apa yang lebih memeningkan kepalanya apabila sesi persekolahan hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sedangkan persiapan persekolahan untuk empat anaknya masih belum dilakukan termasuk membeli kelengkapan seperti buku dan alat tulis.
Artikel Berkaitan:


Katanya, dia juga turut berharap bantuan orang ramai atau pemimpin setempat yang bersimpati dengan nasib keluarganya untuk membantu meringankan beban yang dihadapi oleh isterinya termasuk anak-anaknya yang akan memulakan sesi persekolahan baharu tahun hadapan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubunginya di talian 0167179098 atau datang terus ke rumahnya di alamat No 42, Jalan Rekamas 4, Taman Rekamas Simpang Renggam.