BNM, pihak industri wujud platform risikan ancaman kewangan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) beserta pihak industri kewangan lain, kini dalam proses mewujudkan sebuah Platform Risikan Ancaman Kewangan yang dijangka beroperasi sebelum akhir tahun ini.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata platform itu akan berperanan mengumpul, menganalisis dan menyebarkan maklumat masa sebenar mengenai ancaman dan aliran siber bagi memperkukuh keupayaan pengesanan industri terhadap risiko tersebut.

“Kami menjangkakan platform itu dapat beroperasi sebelum akhir tahun ini. Saya juga ingin mengumumkan mengenai penubuhan satu makmal inovasi khusus berkaitan di Sasana Kijang ini," katanya ketika berucap merasmikan penganjuran MyFintech Week 2019 di sini yang julung kali diadakan.

Sasana Kijang yang diwujudkan oleh BNM pada 2011, merupakan sebuah pusat penyelidikan dan latihan perbankan pusat dan perkhidmatan kewangan selain menempatkan Pusat Penyelidikan dan Latihan Bank-Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) serta Muzium BNM dan Galeri Seni.

Mengulas selanjutnya, Nor Shamsiah berkata makmal itu akan menyediakan persekitaran kerjasama bagi tujuan merangka, melanjutkan lagi serta usaha prototaip penyelidikan inovasi untuk memperhalusi masalah terbabit.

Dalam pada itu, bank pusat tersebut akan turut memulakan akses terbuka dan saksama terhadap infrastruktur pembayaran bagi bank dan bukan bank.

"Adalah penting untuk memperakui keperluan terhadap infrastruktur digital awam lainnya sebagai pengubah utama bagi mendapatkan potensi teknologi kewangan (fintech) sepenuhnya. Ini termasuk memiliki satu sistem identiti digital kebangsaan, kerangka terbuka API (aplikasi pemprograman antara muka) dan perbankan terbuka, dasar pengkomputeran awan yang jelas serta kesalinghubungan jalur lebar di seluruh negara," katanya.

Selain itu, BNM akan turut membezakan pendekatan pengawalseliaan dan penyeliaan bagi memperoleh sumber baharu dan transmisi risiko dan pada masa sama membolehkan aspek eksperimentasi bagi firma membangunkan ekonomi berskala.

Artikel Berkaitan:

"Objektif penting itu adalah mengurangkan arbitraj pengawalseliaan yang boleh meningkatkan risiko dalam bahagian sistem kewangan yang tertakluk kepada peraturan berbeza.

“Kami menjangkakan ini akan disusuli dengan gesaan terhadap pendekatan lebih dinamik dalam aspek pengawalseliaan dan penyeliaan selain penambahbaikan komunikasi mengenai kemajuan pengawalseliaan bagi masa depan," katanya. - Bernama