Lelaki ditahan pecah tabung masjid

Tingkah laku suspek mencuri wang tabung masjid yang dirakam melalui CCTV.
Tingkah laku suspek mencuri wang tabung masjid yang dirakam melalui CCTV.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki disyaki memecah tabung Masjid Ghufran Kampung Manjoi dianggarkan berjumlah RM500 berjaya ditahan polis di hadapan sebuah restoran di Jalan Labroy di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan polis kira-kira jam 1.30 petang selepas menerima laporan mengenai kejadian pecah tabung di Masjid Ghufran, Sabtu lalu.

"Laporan polis tersebut dibuat timbalan pengerusi masjid selepas menerima makluman daripada pengerusi masjid melalui aplikasi WhatsApp bahawa tabung masjid diumpil seorang lelaki.

"Hasil rakaman laporan pengadu serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid mendapati suspek mengumpil dua tabung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, salah sebuah tabung yang diumpil suspek adalah tabung Bahagian Amal Kebajikan Islam Perak (BAKIP) yang hanya dibuka sebulan sekali dan pengadu tidak mengetahui jumlahnya.

"Sebuah lagi tabung adalah yang ditempatkan di ruang solat Muslimah dan nilainya tidak banyak kerana dibuka terlebih dahulu oleh pengurusan masjid pada hari kejadian.

"Suspek yang mempunyai rekod lampau membabitkan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kini ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: