Siti imbau kenangan dengan Allahyarham Bard

Siti Nurhaliza FOTO : MEEN TAHRIN
Siti Nurhaliza FOTO : MEEN TAHRIN
A
A
A

PENYANYI terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui terkesan dengan pemergian bekas Pegawai Perhubungan Awam beliau yang dikenali sebagai abang Bard atau nama sebenarnya Bahanordin Deraman.

Ujar Siti, arwah merupakan antara individu yang banyak berkorban ketika awal penglibatannya dalam industri seni nyanyian.

"Selain kak Rozie dan abang Ayie, arwah merupakan antara individu yang banyak membantu Siti di awal pembabitan di dalam industri seni dulu.

"Arwah merupakan seorang individu yang periang dan sentiasa positif walaupun dalam keadaan sukar.

"Dia suka buat lawak atau meniru nyanyian artis-artis tertentu, sehinggakan kalau Siti sedih atau penat, semua rasa itu hilang kerana dia menceriakan keadaan.

"Malah arwah juga pernah hantar Siti pulang ke Kuala Lipis walaupun ketika itu sudah enam pagi kerana syarat arwah abah, Siti perlu pulang sebelum pergi ke sekolah pada hari Isnin.

"Sikap itu bukan hanya untuk Siti seorang, tetapi semua artis di bawah jagaannya," ujarnya ketika ditemui di Surau Taman Pertama, pagi tadi

Artikel Berkaitan:

 Bahanordin Deraman
Bahanordin Deraman

Siti turut hadir bersama ibunya, Siti Salmah Bachik, untuk memberikan penghormatan terakhir.

Tambah Siti, Allahyarham sudah dianggap seperti keluarganya sendiri dan pengorbanan arwah akan dikenang sampai bila-bila.

Allahyarham Bard yang menghidapi penyakit kencing manis meninggal dunia di usia 53 tahun, kira-kira jam 8.30 malam tadi selepas rebah di rumahnya.

Arwah yang merupakan PRO di syarikat rakaman SRC pernah menguruskan beberapa artis popular lain seperti Liza Hanim, Tomok, dan Datuk Seri Rossa ketika hadir di Malaysia.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak Nur’ Ain Batrisya, 15 tahun dan Rizki Langit Ramadan, 12 tahun.

Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan AU4, Taman Permata, kira-kira jam 2.30 petang tadi.