Ekstradisi Zakir Naik: Kerajaan teliti semua faktor sebelum buat keputusan

Mohamed Hanipa bersama isteri, Siti Rohani Rohmat (kiri) ketika mengunjungi Nur Aishah Iman dan bayinya di kediaman mereka di Kampung Batu 9, Jalan Changkat Jong.
Mohamed Hanipa bersama isteri, Siti Rohani Rohmat (kiri) ketika mengunjungi Nur Aishah Iman dan bayinya di kediaman mereka di Kampung Batu 9, Jalan Changkat Jong.
A
A
A

TELUK INTAN - Isu ekstradisi membabitkan pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik akan dibincangkan dengan teliti oleh kerajaan Malaysia kerana ia membabitkan hubungan diplomatik antara dua negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berkata, isu berkenaan dianggap serius dan kerajaan perlu mengambil kira semua faktor sebelum membuat sebarang keputusan.

"Saya sendiri pernah bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri dan saya kira beliau mengambil kira isu ini dari segi semua faktor.

"Apa-apa pun buat masa ini kita masih menunggu permohonan rasmi sekiranya ada daripada kerajaan India sendiri," katanya kepada pemberita hari ini.

Menurutnya, secara dasarnya, jika kerajaan menerima permohonan daripada kerajaan India untuk menghantar pulang Dr Zakir Naik ke negara itu, perkara terbabit akan dibincangkan di peringkat Kabinet agar keputusan dibuat.

"Selepas itu mungkin kerajaan sama ada hantar menteri berbincang atau sebagainya, tetapi semua tindakan ini diambil setelah Kerajaan Malaysia dapat permintaan rasmi daripada kerajaan India," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India.

Dr Mahathir menegaskan Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas kerajaan India dilihat begitu terdesak untuk menahannya atas tuduhan pengubahan wang haram di India.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga telah mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia tidak menerima apa-apa sebarang permohonan daripada kerajaan India berhubung perkara itu.

Terdahulu, Mohamed Hanipa menyampaikan pengiktirafan 'Hero Tak Didendang' kepada ibu muda, Nur Aishah Iman Harold Ng Lip Singh di Simpang Tiga, Kampung Batu 9, Jalan Changkat Jong.

Program yang dilaksanakan di bawah inisiatif Jabatan Perdana Menteri itu merupakan pengiktirafan kali ke 15 sejak dimulakan September tahun lalu.

Ia bagi menghargai pengorbanan Nur Aishah Iman, 22, yang sanggup meranduk banjir hampir 0.5 meter walaupun masih berpantang bagi menyelamatkan bayi sulungnya, Muhammad Syafiq Syuhaimi Muhammad Shafie yang ketika itu baru berusia 21 hari dalam kejadian banjir, minggu lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia belum terima permohonan ekstradisi Zakir Naik