Saya tak kesal jadi pelakon: Reza Hasbi

Reza Hasbi
Reza Hasbi
A
A
A

PERTENGAHAN Ramadan lalu industri hiburan dikejutkan dengan satu luahan jujur oleh pelakon, Reza Hasbi, 30. Luahan panjang lebar di akaun Instagram miliknya itu, turut mencuri perhatian ramai pengguna media sosial sehingga menjadi topik hangat warganet.

Hasil tinjauan Sinar Harian, mendapati ramai masyarakat yang beranggapan bahawa kehidupan artis begitu gah sehinggakan tidak pernah berasa hidup susah.

1. Begitupun, andaian sebilangan mereka silap apabila pelakon tersebut tampil bersuara. Boleh Reza jelaskan, apakah tujuan sebenar perkongsian itu dibuat? Saya dihujani dengan soalan yang menyentuh hati.

Adik tanya saya baju raya warna ungu sudah ada ke belum? Lalu, saya jawab pakai baju lama sahaja ataupun pakai t-shirt tapi warna sama sahaja. Itu sahaja yang saya mampu. Terasa juga sebab setiap tahun warna sedondon tapi Syawal 2019 tak ada bajet.

Lebih menyedihkan apabila kawan-kawan di kampung nak minta saya taja beli belerang (kabait) untuk main meriam sempena hari raya, namun jujur saya katakan kepada mereka, tidak ada duit langsung. Wajah mereka terus berubah, mungkin di fikiran mereka mustahil saya sebagai artis tidak ada duit. Disebabkan hal-hal itu, tambahan raya semakin dekat saya terus terduduk dan tampil meluahkan di Instagram.

2. Apakah mesej sebenar yang cuba Reza sampaikan

Ramai rakan-rakan lain, jadual lakonan mereka padat tetapi saya hampir dua bulan lebih duduk di rumah sahaja. Tambah pula ada pihak produksi masih tidak melunaskan bayaran kerja saya. Niat saya nak kongsi apa yang berlaku kepada saya kenapa lama di kampung. Nak bagi tahu juga realiti saya sebenar kepada rakan-rakan sebab ada yang tak percaya.

3. Bagaimanakah impak yang Reza terima selepas perkongsian itu dibuat?

Ramai juga yang berikan kata semangat dan doa, tak kurang juga cemuhan kepada saya. Cemuhan itu saya abaikan sahaja, sebab mereka tak tahu apa yang sebenarnya berlaku. Mula-mula bantai, bila dah tahu cerita sebenar mereka minta maaf dengan saya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa yang sama, saya tengok rezeki dan peluang untuk berlakon makin bertambah. Alhamdulillah. Bukan saya nak meminta, cuma nak meluah perasaan dan apa yang terjadi sebab saya susah. Lebih terasa kesannya apabila ada kawan sekolah terserempak di bazar Ramadan. Dia hanya salam dan berlalu pergi begitu sahaja seolah-olah malu dengan saya.

Manakala respons orang industri, ada rakan artis yang mesej nak bantu saya, mungkin mereka pernah mengalami kesusahan lebih kurang sama. Begitu juga dengan produksi yang pernah bekerjasama dengan seperti Zeel Production Sdn Bhd dan Suhan Movies Sdn Bhd turut menghulurkan bantuan. Tapi ada pula yang tak pernah bekerjasama, mereka sindir saya.

Reza Hasbi
Reza Hasbi



4. Selepas perkongsian itu, produksi terbabit ada hubungi Reza? Dua ke tiga hari tak ada respons namun seminggu berlalu, produksi terbabit ada hubungi saya dan berjanji akan lunaskan bayaran berbaki pada bulan Julai. Jika gagal, dia izinkan saya untuk dedahkan produksi berkenaan. Alhamdulillah, kita nantikan sama-sama.

5. Selepas perkongsian itu, adakah netizen lebih menyebelahi pihak Reza atau sebaliknya? Apakah antara cemuhan yang mengguris hati Reza?

Ada satu komen yang sangat mengguris hati. Saya tahu komen itu datangnya daripada orang terdekat kerana komennya mengaitkan nama penuh ayah dan arwah datuk saya. Katanya saya perangai sama sahaja macam ayah.

Bagi saya, tidak perlu sampai membabitkan mereka dalam hal ini. Saya akan ambil tindakan lapor kepada pihak polis. Saya cuma meluah hak dan perasaan sahaja.

6. Selepas ditamatkan kontrak dengan syarikat pengurusan A. Aida Production Sdn Bhd, apakah perancangan Reza selaku pelakon untuk mencari tawaran mendatang?

A. Aida Production Sdn Bhd merupakan syarikat pengurusan pertama, sebelum itu saya bergerak sendiri selama hampir enam tahun. Jadi, jujur saya OK. Malah banyak tawaran yang datang.

7. Bagaimanakah perasaan Reza sekarang selepas membuat luahan di media sosial?

Apa yang terjadi ini saya rasa lega sangat dalam hati yang terbuku akhir dilepaskan dan lebih berani untuk bersuara dan tak takut. Saya buat perkara yang betul dan tak perlu malu kerana inilah diri saya sebenarnya.

8. Selepas apa yang terjadi, Reza masih lagi ingin meneruskan kerjaya sebagai pelakon? Kenapa?

Minat dan rindu serta kepuasan membuatkan saya masih terus mahu berjuang lagi. Hampir sedekad kenapa saya nak undur diri? =

Reza Hasbi
Reza Hasbi



9. Kenapa Reza tak cari kerja tetap lain sahaja?

Sebenarnya memang nak mencari kerja tetap, cuma kalau nak kerja di sektor kerajaan, saya sudah terlambat atas faktor umur. Saya minat badan beruniform seperti polis ataupun askar. Tetapi, alhamdulillah saya ada kemahiran buat kerja pertukangan dan aktif di kampung sahaja kerana banyak yang panggil.

10. Apakah yang Reza rasakan punca Reza gagal sebagai pelakon?

Saya sejujurnya, tak merasakan saya pelakon yang gagal, cuma peluang untuk mendapat watak utama itu kurang. Mungkin belum sampai masanya. Saya percaya saya ditolak kerana faktor ketinggian, hero heroin biasanya tinggi. Ada sahaja yang cuba nak tetapi pihak stesen televisyen berasakan saya tidak sesuai.

11. Adakah Reza kesal atas apa yang telah berlaku?Perasaan kesal itu datang seketika selepas apa yang berlaku kerana saya melihat ramai kawan saya sudah berjaya capai cita-cita mereka. Bahkan, dapat membeli aset kereta dan rumah, tetapi saya selepas 10 tahun masih sama dan susah.

Begitupun, sebagai manusia saya belajar dari kesilapan, ujian yang berat untuk orang yang kuat, rezeki milik ALLAH, itu yang saya pegang.

12. Apakah nasihat Reza untuk bakat baharu yang mahu menceburi bidang lakonan?

Kejarlah cita-cita yang menjamin masa depan, berlakon dalam industri bukan tak menjamin, cuma carilah satu pendapatan tetap. Kalau tak berlakon lama, setidaknya ada pendapatan yang boleh membantu kelangsungan hidup. Contohnya ada bisnes. Berlakon jadikan lah sebagai sampingan dan hobi untuk berkarya.

13. Boleh Reza kongsi perkembangan terkini?

Tahun lalu saya ada beli tanah untuk dijadikan homestay, dua kontena berukuran 20 kaki panjang 8 kaki tinggi, dan enam biji tube stay baru sahaja siap dan bakal beroperasi tak lama lagi. Insya-ALLAH kalau ada rezeki lebih saya tambah lagi lapan biji kontena. Lokasi di Kampung Talang Hilir, Kuala Kangsar.

Sementara ini, saya ada buka warung yang dikendalikan oleh keluarga. Selain itu, ada masakan kampung dan bagi sewa tempat untuk masakan Western oleh Cef Ramly dan makanan pantai timur oleh Abe. Jadi, adalah sumber untuk tampung untuk buat bayar duit api air warung.

14. Boleh Reza kongsi kan apakah yang mendorong Reza untuk berniaga di tepi pusara di Perak itu?

Meniaga nasi lemak tepi kubur itu sebenarnya untuk tempahan raya. Di Pekan Kuala boleh meniaga tapi ramai orang. Jadi, saya pilih jauh sedikit kebetulan tepi jalan dan dekat dengan kubur.

15. Sambutan dan respons penduduk di sana macam mana? Apa kata mereka?

Alhamdulillah yang datang dari jauh sekali tempah dan beli 15 bungkus. Mereka kata gerai saya sahaja yang buka dan terima tempahan untuk hari raya.