JKM kesan waris lima kanak-kanak

(ikut turutan nombor) Divinesh, 5, Kanak-kanak lelaki India berusia 9 bulan, Nurshima SP Hidayanti, 12, Aqila Misha Shafana Saweli, 1 & Andes, 6
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada lima kanak-kanak bagi urusan dokumen pengenalan diri dan proses penempatan.

Pegawai Pelindung, Ainie Haslinda berkata, kes pertama bagi kanak-kanak bernama Aqila Misha Shafana Saweli, 1, dirujuk oleh Suhana Salindro iaitu nenek kepada Aqila memaklumkan bahawa ibu dan bapa kandung telah menghilangkan diri dan tidak dapat dikesan sehingga kini.

"Nenek Aqila memaklumkan bahawa ibu bapa kandung tidak menghantar sebarang berita dan telah meninggalkan dalam jagaannya sejak bayi.

"Pada 10 Jun 2019, Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Kuala Lumpur telah memberi Perintah Jagaan Sementara kanak-kanak dibawah jagaan Puan Suhana Binti Salindro sehingga satu siasatan lanjut dapat dilakukan," katanya.

Selain itu, JKM juga mengesan ibu kandung kepada Divinesh, 5, yang dikenali sebagai P Pathma dan merupakan warganegara Malaysia dikatakan melarikan diri sejak 17 Oktober 2013.

Pelindung kes, Mohd Bukhori Samah berkata, Ibu kandung menghilangkan diri setelah memaklumkan kepada penjaga untuk mengambil dokumen-dokumen kanak-kanak tersebut di rumahnya.

"Pelbagai usaha dilakukan oleh keluarga penjaga bagi mengesan ibu kandung dan sehingga kini kanak-kanak ini masih tiada dokumen pengenalan diri.

"Sehubungan ini, JKM sedang mengesan mana-mana pihak yang mengenali ibu kanak-kanak ini untuk urusan mahkamah," katanya.

Bagi kes berikutnya, Mohd Bukhori berkata, JKM juga sedang mengesan ibu kandung kepada Nurshima SP Hidayanti, 12, ditinggalkan oleh ibu kandung kepada penjaga Mohd Yusof Suandi.

"Ibu kandung kanak-kanak dikenali sebagai Simok merupakan warganegara Indonesia telah menyerahkan kanak-kanak bersama sijil kelahiran kanak-kanak.

"Penjaga Nurshima menjaga tanpa dokumen penjagaan yang sah sehingga menyukarkan urusan persekolahan dan urusan rasmi lain," katanya.

Dalam pada itu, JKM juga mencari ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki India yang berusia 9 bulan yang telah dijumpai oleh pegawai polis semasa membuat rondaan di ELK Desa Resources Berhad, Jalan Brunei Utara pada 7 Mei 2019.

Pelindung kes, Hazzariza Napiah berkata, JKM mengalu-alukan waris atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat ibu kandung untuk menghubungi JKM bagi membantu Mahkamah untuk memberi penempatan dan kebajikan kanak-kanak.

Selain itu, JKM juga mencari ibu kandung kepada kanak-kanak bernama Andes, 6, yang dijumpai orang awam di Padang Permainan Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada tahun 2016.

Pelindung kes, Azizul Rahaman Zabidin berkata, ibu kandung kanak-kanak atau waris diperlukan untuk berbincang dengan pelindung kes bagi mengetahui perancangan penempatan kanak-kanak selanjutnya.

Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 03-26124000 atau hadir ke JKM Kuala Lumpur.