PM luang masa bertemu ibu bapa, pasukan perubatan Ainul Mardhiah

Ahmad Safiuddin (tiga dari kiri) bersama isteri, Nurul Erwani Zaidi (dua kiri) dan Dr Nur Amalina (empat kanan) serta pasukan doktor yang terbabit dalam merawat Ainul Mardhiah bergambar bersama Tun Dr Mahathir ketika bertemu di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di kediaman Pesuruhjaya Tinggi di Templewood Gardens, London. - FOTO FACEBOOK AHMAD SAFIUDDIN
Ahmad Safiuddin (tiga dari kiri) bersama isteri, Nurul Erwani Zaidi (dua kiri) dan Dr Nur Amalina (empat kanan) serta pasukan doktor yang terbabit dalam merawat Ainul Mardhiah bergambar bersama Tun Dr Mahathir ketika bertemu di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di kediaman Pesuruhjaya Tinggi di Templewood Gardens, London. - FOTO FACEBOOK AHMAD SAFIUDDIN
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluangkan masa untuk bertemu dengan ibu bapa dan pasukan perubatan yang merawat bayi istimewa, Ainul Mardhiah di kediaman Pesuruhjaya Tinggi di Templewood Gardens, London, semalam.

Bapa kepada Ainul Mardhiah, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak yang berkongsi gambar di laman sosial Facebooknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat membantu keluarganya.

"Alhamdulillah. Selain Tun Dr Mahathir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad pun pernah bertemu kami sejurus kami tiba di hospital pada hari pertama.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Alhamdulillah, Ainul tak perlu bantuan oksigen lagi'

"Mereka semua mendoakan yang terbaik buat Ainul Mardhiah. Terima kasih kami ucapkan kepada pihak kerajaan, agensi-agensi kerajaan seperti pusat Zakat Melaka, Majlis Agama Islam Melaka dan wakil rakyat yang telah membantu kami," tulisnya.

Dr Mahathir semalam menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Suruhanjaya Tinggi Malaysia di kediaman Pesuruhjaya Tinggi di Templewood Gardens, London. Beliau sebelum ini dalam lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom (UK) sejak Jumaat lalu.

Berkongsi lanjut dalam hantaran itu, Ahmad Safiuddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pelatih pakar bedah Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri dan pasukan doktor yang merawat Ainul Mardhiah.

"Tidak ketinggalan NGO-NGO, ahli korporat, rakyat Malaysia dan pihak-pihak lain yang telah banyak membantu memudahkan urusan kami.

Artikel Berkaitan:

"Tiada kata lain boleh kami katakan, tanpa mengira fahaman, agama dan bangsa, anda semua telah buat satu perkara yang baik dan mulia di sisi Tuhan. Tuhan akan mengira setiap usaha baik tuan, puan yang telah tuan, puan lakukan di akhirat kelak," luahnya.

Ainul Mardhiah yang menghidap ‘Germ Cell Tumor’ selamat menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan seberat 200g di mulutnya di sebuah hospital di UK.

Pembedahan dilakukan sekumpulan pakar bedah dan anestetik diketuai oleh Ketua Unit Craniofacial hospital berkenaan, Prof David Dunaway.

Doktor berasal dari Malaysia, Dr Amalina dan Dr Julian Ong turut terlibat dalam pembedahan berisiko tinggi itu.