X

Kindly register in order to view this article
!

JCorp catat perolehan RM5.616 bilion

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal (kiri) dan Kamaruzzaman menunjukkan naskhah Buku Laporan JCorp 2018.
A
A

JOHOR BAHRU -Johor Corporation (JCorp) mencatatkan perolehan sebanyak RM5.616 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata syarikatnya mampu mengekalkan prestasi ketika perniagaan lain sedang berdepan pelbagai cabaran dan keadaan pasaran yang tidak menentu.

"Secara keseluruhan JCorp dan Kumpulan pada tahun 2018 berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang disasarkan walau menghadapi persekitaran sengit dan cabaran dalam sektor-sektor diceburi syarikat Kumpulan.

"Semua divisyen-bisnes Kulim, kesihatan pakar, makanan dan perkhidmatan restoran, hartanah, pembangunan industri, pembangunan bisnes, tanggungjawab korporat, pengurusan sumber manusia kumpulan serta kemajuan ICT kumpulan telah menyumbang dengan cara masing-masing bagi mencapai prestasi ini," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

Tahun lalu, Kumpulan JCorp mencatatkan perolehan RM5.616 bilion berbanding RM5.564 bilion pada 2017.

Jumlah aset Kumpulan turut mencatatkan pertumbuhan sepanjang tempoh lima dekad beroperasi dengan aset bernilai RM22.891 bilion pada 2018 berbanding RM21.79 bilion tahun sebelumnya.

Sementara itu, Kamaruzzaman turut memaklumkan pihaknya telah berjaya melunaskan obligasi pembayaran sukuk Wakalah siri kedua berjumlah RM800 juta untuk prinsipal berserta kupon berjumlah RM49.19 juta.

Katanya, penebusan Sukuk Wakalah tersebut adalah sangat signifikan kepada JCorp kerana di bawah Jaminan Kerajaan Persekutuan yang dijamin oleh Kerajaan Johor.

“Bagi tempoh Disember 2012-2019, keseluruhan bayaran sukuk dan yuran jaminan yang berjaya dilunaskan ialah RM1.959 bilion.

"Kami akan sentiasa beriltizam merangka pelbagai inisiatif serta strategi bagi memastikan JCorp terus menjana perolehan dan keuntungan serta aliran tunai yang optimum, termasuk fokus terhadap bisnes-bisnes strategik dan penerokaan bisnes-bisnes baharu," katanya.

Katanya, kejayaan melunaskan obligasi berlandaskan kepada kesungguhan, nilai kerja berpasukan, keberkesanan perancangan strategik, kekukuhan aset serta kewangan Kumpulan JCorp selain kerjasama erat dengan agensi kerajaan dan pihak berkepentingan.

Bagi tahun 2018, sumbangan cukai Kumpulan JCorp kepada kerajaan berjumlah RM396.64 juta melibatkan RM39.37 juta bagi potongan cukai berjadual (PCB), RM265.11 juta (ansuran CP204), RM57.86 juta (cukai barangan dan perkhidmatan atau GST) dan RM34.30 juta (cukai jualan dan perkhidmatan atau SST).

Angka itu menurun berbanding RM453.69 juta pada 2017 kesan pemansuhan Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan 2014 mulai 1 September 2018.