Kes pembunuhan 39 tahun berjaya diselesaikan

Jerry Lynn Burns (kiri) ditahan kerana membunuh Michelle Martinko pada 1979.
Jerry Lynn Burns (kiri) ditahan kerana membunuh Michelle Martinko pada 1979.
A
A
A
DES MOINES - AMERIKA SYARIKAT. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga.
Seorang lelaki ditahan polis selepas laporan lengkap ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan dia sebagai suspek utama pembunuhan seorang gadis di Iowa pada tahun 1979.

Mayat mangsa ditemui dalam sebuah kereta berhampiran pusat membeli belah di bandar berkenaan.

Bagaimanapun, kekurangan saksi menyebabkan kes itu berlanjutan sehingga 39 tahun.

Jabatan Polis Cedar Rapids dalam kenyataannya berkata, suspek Jerry Lynn Burns, 64, ditahan selepas bukti DNA pada mayat mangsa diperiksa semula.

Ujian saintifik mengesahkan DNA yang berada pada mayat mangsa, Michelle Martinko, 18, adalah milik suspek.

"Keluarga mangsa tidak pernah berputus asa dan percaya kes ini akhirnya diselesaikan.

"Ini juga menunjukkan bahawa kami juga tidak pernah berputus asa dalam memburu suspek," kata ketua polis Cedar Rapids,Wayne Jerman.

Mengikut fakta kes, Michelle dilaporkan hilang selepas keluar ke pusat membeli belah untuk membeli baju sejuk.

Polis membuat gerakan mencari mangsa dan menemui mayatnya empat jam selepas kehilangannya dilaporkan.

Pemeriksaan mendapati terdapat lapan kesan tikaman pada mayat dan terdapat luka pada tangan menunjukkan mangsa cuba melawan penyerangnya.

Penyiasat gagal menyelesaikan kes berkenaan, sehinggalah pada 2006, DNA suspek berjaya dikesan pada pakaian yang dipakai mangsa pada hari kejadian.

"Ujian terbaharu mengesahkan DNA itu milik suspek," kata Jerman.

Tambahnya, suspek dikenakan tuduhan membunuh kelas pertama. - Agensi

Artikel Berkaitan: