Netanyahu rasmi Trump Heights di Bukit Golan

Netanyahu merasmikan Trump Heights di Bukit Golan.
Netanyahu merasmikan Trump Heights di Bukit Golan.
A
A
A

BAITULMAQDIS - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam merasmikan sebuah penempatan baharu di Bukit Golan, dinamakan sempena “rakan hebat” negara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Netanyahu mendedahkan papan tanda “Trump Heights” disertai dengan bendera Israel dan AS, bagi menandakan pelancaran tapak penempatan baharu itu.

Majlis itu berlaku selepas Trump pada hujung Mac lalu mengiktiraf kedaulatan Israel melibatkan kawasan yang dirampasnya daripada Syria pada Perang Enam Hari 1967.

Israel merampas kawasan itu dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa.

“Golan adalah milik Israel dan akan terus jadi begitu,” isytihar Netanyahu.

Pembinaan di kawasan penempatan itu sedang dilakukan oleh empat keluarga warga Israel.

Ia akan dibina di atas bekas tapak kibbutz yang pertama kali dibina pada 1984.

Pelancaran penempatan baharu itu akan memacu pembangunan Bukit Golan.

Artikel Berkaitan:

Tambah Netanyahu, kerajaan berjanji akan melabur untuk pembinaan rumah dan jalan raya serta kemudahan pendidikan dan pelancongan.

Pada April lalu, pemimpin Arab mengutuk tindakan AS mengiktiraf Bukit Golan sebagai wilayah Israel.

Dalam satu deklarasi yang diumumkan pada hari terakhir sidang kemuncak Liga Arab di Tunisia, anggota pertubuhan itu mengesahkan bahawa Bukit Golan adalah wilayah milik Syria mengikut undang-undang antarabangsa.

Menurut deklarasi itu, pemilikan oleh Syria juga adalah hak yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Majlis Keselamatan. - AFP