153 kes jenayah libatkan kanak-kanak di Kelantan tahun ini

Sebahagian pelajar dan guru turut merakamkan gambar bersama jawatakuasa yang menjayakan program Sahabat Bijak, Safe & Protect di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Suria 1, di sini hari ini. Gambar kecil, Nurul Shafiqah.
A
A

TANAH MERAH - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan mengenal pasti sebanyak 153 kes jenayah melibatkan kanak-kanak di negeri ini, sepanjang Januari hingga Mac tahun 2019 dan jenayah dadah merupakan antara tertinggi melibatkan golongan terbabit.

Kumpulan kanak-kanak ini mula berjinak-jinak dengan dadah sejak usia 10 tahun dan sanggup mencuri bagi memenuhi tuntutan mereka mendapatkan bekalan dadah.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kanak-Kanak JKM Kelantan, Nurul Shafiqah Auni Abdullah berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 21 peratus berbanding 559 kes sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu.

"Perkara ini amat membimbangkan kerana Kelantan negeri yang dekat dengan sempadan Thailand dan mudah mendapatkan bekalan.

"Jadi kita mainkan peranan dengan memberi input dan informasi bagi mencegah kanak-kanak terlibat dalam kegiatan jenayah termasuk pendedahan kepada ibu bapa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian kempen Sahabat Bijak, Safe& Protect di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Suria 1, di sini hari ini.

Hadir sama, guru besar sekolah berkenaan, Mat Nor Hassan.

Nurul Shafiqah berkata, program terbabit merupakan lanjutan dari penganjurannya sejak tahun lalu di tujuh jajahan di Kelantan.

Sementara itu beliau berkata, selain kes dadah, kanak-kanak juga mudah terjebak kes jenayah seksual.

"Pendedahan terhadap media sosial melalui penggunaan telefon bimbit juga menyebabkan berlakunya pergaulan bebas dan melibatkan kanak-kanak dengan orang terdekat mereka sama ada rakan di sekolah dan kenalan.

"Kanak-kanak ini perlu diberi pendedahan yang sewajarnya kerana mereka mudah terpengaruh. Kita sedia membantu bagi mencegah mereka terjebak dalam gejala sosial yang boleh memberi kesan negatif," katanya.