Pertelagahan AS-Iran

No Image Caption
A
A
A

BERADA di persimpangan tiga benua dan hab pengeluaran 50 peratus minyak global, rantau Asia Barat sejak sekian lama menjadi tumpuan kuasa-kuasa dunia.

Campur tangan kuasa besar ke atas negara-negara Arab berlaku sejak lebih beratus-ratus tahun lalu melibatkan Britain dan Perancis.

Selepas tamat Perang Dunia Kedua, giliran Rusia dan Amerika Syarikat (AS) melebarkan proksi dan pengaruh ke atas wilayah yang terkenal dengan komoditi minyak atau lubuk ‘emas hitam’.

Bagaimanapun, selepas tamat Perang Iraq-Iran pada tahun 1988 yang menyaksikan Washington membantu Iraq manakala Moscow berada di belakang Iran, AS dilihat menjadi ‘pencorak’ utama politik negara-negara di tanah Arab.

Ia bukan rahsia lagi, apabila atas nama keselamatan dunia dan demokrasi sejati, AS menjarah keamanan banyak negara Arab.

Kira-kira 19 tahun lalu, tentera AS menyerang Iraq untuk menumbangkan Saddam Hussein yang digelar diktator selain mahu mencari uranium dan senjata nuklear.

Tidak ketinggalan, AS juga dilihat antara pengolah plot krisis sehingga terjadinya Arab Springs. Malangnya, jutaan rakyat Syria sehingga kini menangisi tuaian Musim Bunga Arab yang tidak kunjung tiba.

Hari ini, AS mencari sasaran baharu iaitu negara di tanah Arab yang paling liat untuk dijinakkan AS sejak sekian lama. Iran negara yang paling lantang mengutuk setiap perbuatan keji AS terutamanya di bawah Presiden Donald Trump.

Artikel Berkaitan:

Pasang surut krisis AS-Iran nampaknya semakin tegang sejak tahun lalu selepas Trump menarik diri daripada Perjanjian Nuklear Iran.

Namun empat hari lalu, ketegangan hubungan dua negara itu makin memuncak apabila Trump menuduh Iran sebagai dalang kepada serangan dua buah kapal tangki minyak di Teluk Oman.

Persoalannya adakah alasan keselamatan dan ancaman nuklear Iran yang sedang dimainkan Trump cukup kuat untuk AS sekali lagi memulakan perang di tanah Arab.

Seluruh dunia kini sedang memerhati dengan penuh dekat apatah lagi sejak sebulan lalu AS sudah pun menggerakkan angkatan kapal pengangkutnya serta pesawat pengebom B-52 ke kawasan Teluk.