Video seks: Azmin persoal siapa penyebar maklumat

A
A

1. Video seks: Azmin persoal siapa penyebar maklumat

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata kepimpinan PKR perlu menjelaskan kenapa pihak yang menyebarkan video seks yang dikatakan memaparkan individu miripnya itu boleh memiliki nombor telefon semua pemimpin cabang parti.

Azmin berkata malahan dirinya yang juga merangkap timbalan presiden PKR itu tidak memiliki akses terhadap maklumat sedemikian.

Beliau berkata, kumpulan WhatsApp yang menyebarkan video itu mengandungi semua nombor telefon pemimpin cabang dan juga pemegang jawatan lebih rendah pada peringkat cabang (PKR).

Azmin juga berkata beliau menerima laporan bahawa pihak yang menyebarkan video tersebut mengelak menggunakan Facebook dan Instagram bagi menghalang alamat IP iaitu protokol internet mereka daripada dikesan.

2. Malaysia belum terima permohonan ekstradisi Zakir Naik - TPM

Kerajaan Malaysia belum menerima sebarang permohonan daripada kerajaan India untuk menghantar pulang pendakwah terkenal Dr Zakir Naik ke negara berkenaan.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata tiada keperluan untuk kerajaan Malaysia berbuat demikian.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata Malaysia tidak akan tunduk kepada desakan mana-mana pihak supaya Zakir dihantar pulang ke India.

Dr Mahathir menegaskan Malaysia mempunyai hak sama ada mahu menghantar pulang atau tidak pendakwah terkenal itu ke negara asalnya selepas kerajaan India dilihat begitu terdesak untuk menahan Zakir atas tuduhan pengubahan wang haram di India.

3. Jabatan Kimia nafi sampel bukan dari Sungai Lebir

Jabatan Kimia menafikan tuduhan badan bukan kerajaan (NGO) kononnya agensi tersebut mengambil sampel air dari sungai lain dan bukan Sungai Lebir yang menjadi sumber bekalan minuman masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampug Kuala Koh.

Ahli Kimia di Jabatan Kimia Malaysia, Dr. Mohamad Rafiq Sulaiman berkata, sampel air tersebut diambil oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di enam lokasi di kawasan perkampungan tersebut berpandukan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Katanya, hasil analisis mendapati tiada sebarang pencemaran logam berat atau bahan kimia sebaliknya analisis kimia yang dilakukan hanya menemui bakteria e-coli.

Tambah beliau, bakteria e-coli yang sering ditemukan di semua sungai di seluruh negara boleh dihapuskan dengan cara merebus air sungai sebelum diminum dan bukan menjadi penyebab kepada kematian 14 Orang Asli sebelum ini.

4. Selangor larang penyedut minuman plastik

Semua premis makanan di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggan berkuat kuasa 1 Julai ini.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Hee Loy Sian berkata, keputusan itu sebulat suara dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini.

Menurut Loy Sian, premis juga turut dilarang menyediakan penyedut minuman plastik di kaunter untuk diambil secara bebas oleh pelanggan.

5. Tiga sekeluarga dera dua kanak-kanak ditahan

Tiga beranak termasuk seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ditahan sabtu lalu kerana disyaki melakukan penderaan ke atas dua kanak-kanak, di Pusat Bandar Puchong.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan, berkata mangsa yang juga pasangan adik-beradik berusia tujuh dan lapan tahun itu diselamatkan tidak lama selepas polis menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan kejadian kira-kira jam 12.48 tengah hari.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek mempunyai hubungan persaudaraan dan sudah tujuh tahun tinggal bersama selepas kedua-dua ibu bapa mereka berpisah.

Tambah beliau, pemeriksaan lanjut di rumah suspek berjaya menemukan satu kayu cota, satu garpu perak dan sebatang paip getah keras yang dipercayai digunakan untuk mendera mangsa.

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia