Johor perkasa Klinik Komuniti

Mohd Khuzzan (kiri) melayani tetamu yang hadir Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Semerah semalam.
Mohd Khuzzan (kiri) melayani tetamu yang hadir Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Semerah semalam.
A
A
A

BATU PAHAT - Kerajaan Negeri Johor akan terus memperkasakan Klinik Komuniti di negeri ini bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan kerajaan mendapat liputan yang menyeluruh oleh rakyat.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, setakat ini terdapat 18 Klinik Komuniti di seluruh Johor dan tidak ada sebarang penutupan yang dibuat ekoran sambutan yang menggalakkan daripada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

"Kita (kerajaan negeri) bukan hanya akan memperkasakan Klinik Komuniti sahaja, sebaliknya semua fasiliti kesihatan yang kita ada termasuk klinik desa dan klinik kesihatan turut akan diberi perhatian kerana kita mahu semua kemudahan ini berada dalam keadaan baik dan selamat.

"Seperti Klinik Komuniti di Kulai, kita ada cadangan untuk menempatkan pegawai perubatan berbanding penolong pegawai perubatan di klinik-klinik lain dan ini adalah salah satu bentuk pemerkasaan yang akan kita lakukan kerana kita mahu yang terbaik untuk rakyat," katanya.

Beliau yang juga ADUN Semerah berkata kepada pemberita pada sidang media semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri ADUN Semerah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Sellahuddeen Abdul Aziz ; Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas; Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng.

Menurutnya, beliau juga akan melakukan lawatan ke semua perkhidmatan kesihatan yang ada di negeri ini termasuk hospital-hospital kerajaan sebelum tindakan selanjutnya bagi mengenal pasti masalah-masalah yang berbangkit ini dilakukan pada penghujung bulan September ini.

Sebelum ini tular satu video di laman sosial apabila pengamal-pengamal perubatan persendirian mendesak supaya Kementerian Kesihatan (KKM) menutup semua Klinik Komuniti di negara ini kerana mengganggu periuk nasi mereka.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kluang dan Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR) akan terus memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan pencegahan nyamuk aedes di Taman Sri Lambak, Kluang supaya penyebaran wabak denggi di kawasan tersebut dapat dikawal.

"Saya berharap orang ramai dapat meluangkan sedikit daripada masa mereka untuk membersihkan kawasan sekitar kediaman mereka bagi mengelak dikenakan sebarang hukuman dan paling utama bebas daripada wabak denggi ini selepas dua kes kematian di kawasan tersebut.

"Masyarakat juga perlu bersama-sama dan mengikis sikap kebergantungan terhadap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan PKD untuk membersihkan kawasan sekitar kediaman mereka daripada menjadi tempat pembiakan aedes ini," katanya.