Teknologi penanaman terung secara fertigasi dalam kampus

Tanaman fertigasi merupakanh teknik pertanian yang mampu memaksimumkan hasil tanaman melalui penggunaan air dan baja yang terkawal.
A
A

KUANTAN - Projek tanaman terung secara fertigasi di Pilot Fertigation Plant Universiti Malaysia Pahang (UMP) Gambang di sini salah satu usaha pihak universiti memanfaatkan ruang kosong di dalam kawasan kampus.

Kajian dan perancangan projek itu bermula sejak pertengahan tahun lalu namun kerja-kerja penyediaan tapak projek dan kerja-kerja lain hanya bermula sepenuhnya pada Januari tahun ini setelah mendapat kelulusan pihak pengurusan universiti dan UMP Holdings Sdn. Bhd.

Pengurus Besar UMPT, Dr. Nur Aainaa Syafini Mohd Radzi berkata, UMP Technology Sdn. Bhd. (UMPT) anak syarikat milik penuh UMP Holdings diberi peranan untuk projek tersebut.

Menurutnya, projek yang dijalankan atas tapak fertigasi seluas 1.45 hektar kini berjaya menanam 16,000 pokok terung.

“Daripada jumlah itu, 15,000 pokok untuk tujuan komersial dan 1,000 pokok lagi dikhaskan bagi tujuan percubaan dan penambahbaikan teknologi serta produk UMP yang berkaitan.

“Kerja-kerja penanamannya bermula bulan Mac hingga April dan hasilnya mula dituai sejak pertengahan Mei lalu,”katanya.

Dr. Nur Aainaa Syafini berkata, hasilnya kini kira-kira 250 hingga 350 kilogram setiap dua hari dan jangkaan hasil tuaian itu akan meningkat sehingga 1.2 ke 1.5 tan sehari bermula pertengahan Jun ini.

“Sekarang hasil terung ini dijual secara terus di ladang kepada pemborong dan pasaraya berhampiran pada harga RM6 sekilogram,”katanya.

Dr Nur Aainaa menunjukkan hasil tanaman terung yang dituai dan sedia untuk dipasarkan.
Dr Nur Aainaa menunjukkan hasil tanaman terung yang dituai dan sedia untuk dipasarkan.

Beliau berkata, tanaman fertigasi sudah tidak asing bagi UMP memandangkan sebelum ini UMP telah mengusahakan beberapa projek penanaman menggunakan kaedah itu bagi tujuan kajian dan beberapa aktiviti kemasyarakatan untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat melalui projek Facelift D’ Kuala di Kuala Pahang.

Menurutnya, penanaman secara fertigasi itu berpotensi untuk pulangan yang lumayan sehingga tiga atau empat kali ganda lebih tinggi berbanding kaedah pertanian konvensional.

“Melihat kepada potensi kaedah ini antara sebab kami menjalankannya sendiri secara komersial.

“Selain bertindak sebagai aktiviti penjanaan pendapatan kepada syarikat milik universiti, projek perintis tanaman fertigasi yang dibangunkan ini mempunyai kelebihan tersendiri kerana kedudukannya yang berada di dalam kawasan kampus,”katanya.

Beliau mengharapkan ladang fertigasi milik UMPT ini sebagai pemulaan kepada penggunaan produk-produk UMP yang berpotensi dalam bidang pertanian secara komersial sebelum dipasarkan secara besar-besaran di pasaran terbuka.

Dr. Nur Aainaa Syafini menunjukkan hasil tuaian tanaman terung yang dijalankan menggunakan teknologi fertigasi dalam kampus UMP.
Dr. Nur Aainaa Syafini menunjukkan hasil tuaian tanaman terung yang dijalankan menggunakan teknologi fertigasi dalam kampus UMP.

“Kita juga berhasrat untuk meluaskan lagi penanaman sayuran secara fertigasi ini agar UMPT mampu menjadi salah satu pembekal sayuran segar terbesar di negeri Pahang.

“Melalui projek ini juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada mahasiswa UMP dan masyarakat setempat untuk menambah pendapatan mereka,”katanya.

Dr. Nur Aainaa Syafini berkata,UMPT kini dalam proses untuk mengenalpasti kawasan berdekatan yang boleh dipajak kepada syarikat untuk jangka masa tertentu serta turut mendapatkan kawasan tanah yang bersesuaian bagi meluaskan lagi penanaman secara fertigasi itu.

“Dalam melaksanakan projek fertigasi ini, UMPT turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian sepanjang proses pembangunan projek dan menjalankan kolaborasi bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi tujuan pengkomersialan hasil tanaman.

“Bagi mereka yang berminat untuk menjalankan aktiviti pertanian secara fertigasi ini sendiri, UMPT turut menawarkan perkhidmatan rundingan, serta latihan yang bersesuaian untuk memulakan projek,”katanya.