Derita adik Nur Hana menahan sakit

Nur Hana menangis menahan kesakitan manakala Abdul Rahim dan Zainab melihat keadaan kaki Nur Hana.
Nur Hana menangis menahan kesakitan manakala Abdul Rahim dan Zainab melihat keadaan kaki Nur Hana.
A
A
A

BALING - Siapa sahaja pasti akan tersentuh tatkala melihat adik Nur Hana Humairah Abdul Rahim yang menangis menahan kegatalan di anggota badan akibat penyakit kulit yang serius.

Ibu, Zainab Othman, 31, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik berusia tiga tahun itu mengalami penyakit gatal sehingga kedua bahagian kakinya bernanah, berdarah dan berair.

Menurutnya, daripada bahagian kaki, penyakit itu merebak pula ke kedua bahagian tangan serta belakang telinga Nur Hana.

"Anak ada penyakit gatal kulit sejak setahun lalu, tetapi tak pernah sampai tahap macam ini.

"Doktor kata ini penyakit ekzima, kami pergi klinik biasa pun kata benda yang sama," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Kampung Mengkuang Hujung, kelmarin.

Katanya, sehari sebelum puasa lalu, kaki anaknya mengalami kegatalan dan Nur Hana dirawat di Hospital Baling selama seminggu.

Menurutnya, ketika itu keadaan kaki Nur Hana hanya kemerahan, kekeringan dan mengelupas.

"Waktu dirawat di hospital kulitnya tak sampai tahap teruk lagi. Tetapi beberapa hari sebelum raya keadaan kulitnya mula menjadi teruk.

Artikel Berkaitan:

"Sampailah raya pertama air bisa, mula keluar dan mentik bersama darah dan nanah. Jika nak duduk, memang kena lapik dengan kain," katanya.

Tambahnya, air bisa, nanah dan darah juga keluar apabila Nur Hana tidur.

"Setiap hari kami akan tukar kain lapik termasuk selimut yang dibasahi air bisa," katanya.

Zainab berkata, air bisa yang keluar bagaimanapun semakin berkurangan sejak mengambil ubat homeopati dari sebuah klinik di Jeniang.

"Selepas ambil ubat homeopati, sehari, dua ini kurang la sedikit keadaan gatal tu. Kami juga ada mencuba kaedah perubatan kampung," katanya yang merupakan seorang suri rumah.

Pendapatan keluarga ini ditanggung Abdul Rahim Che Sa, 36, hasil dengan berniaga dan pasangan ini masih menanggung dua anak berusia tujuh dan 11 tahun.

Terdahulu, ADUN Kupang Briged (B) Datuk Najmi Ahmad melawat keluarga ini dan menyalurkan sumbangan.

Untuk sumbangan boleh disalurkan melalui Maybank di nombor akaun 152050022262 atas nama Zainab Othman atau hubungi keluarga ini di talian 011-29597195 atau 013-4315537.