26 orang asli Kuala Koh masih dirawat di hospital

Dr Mohd Salleh Mat Jusoh
A
A

KUALA KRAI - Seramai 26 orang asli Kuala Koh dipercayai menghadapi masalah saluran pernafasan masih dirawat di Hospital Kuala Krai (HKK).

Pengarahnya, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh berkata, dua daripada mereka dirawat di Unit Rawatan Rapi, bagaimanapun keadaan seorang daripadanya beransur pulih.

"Kedua-dua yang dirawat di ICU pesakit perempuan masing-masing berusia 12 dan 27 tahun, kemungkinan salah seorang daripadanya akan dipindahkan ke wad biasa petang ini.

"Pesakit lain pula ditempatkan di wad khas iaitu wad kluster saluran pernafasan di kalangan orang asli," katanya.

Mohd Salleh berkata, daripada 26 pesakit dirawat di HKK, 21 adalah bayi dan kanak-kanak.

"10 pesakit pula lelaki dan selebihnya perempuan yang mana pesakit paling muda dirawat di HKK ketika ini berusia tiga bulan.

"Sementara pesakit orang asli dewasa yang masih dirawat di HKK pula seramai lima orang, seorang lelaki dan empat perempuan," katanya.

Beliau berkata, jumlah orang asli yang menerima rawatan di HKK sentiasa berubah pada setiap hari.

"Setiap hari ada yang dihantar untuk dapatkan rawatan dan ada juga yang dibenarkan pulang," katanya.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan pihaknya masih mengehadkan lawatan ke atas pesakit orang asli bagi mengelak jangkitan merebak memandangkan punca penyakit belum dikenal pasti.

Bercakap kepada Sinar Harian, Mohd Salleh turut memberitahu kakitangan hospital yang berurusan dengan pesakit orang asli yang kurang sihat dibenarkan berehat.

"Ada dalam kalangan mereka yang mempunyai simptom seperti batuk dan sakit kita beri rehat.

"Mereka bukan sahaja jururawat malah pengawal keselamatan kita benarkan rehat," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia