Naik taraf dewan Masjid Muhammadiah bermula Ogos

Dr Fadzli Cheah menyampaikan cenderahati kepada Mohd Yusof (kanan).
Dr Fadzli Cheah menyampaikan cenderahati kepada Mohd Yusof (kanan).
A
A
A

IPOH - Fasa kedua naik taraf Masjid Muhammadiah di Taman Tasek Jaya di sini melibatkan pembinaan dewan akan dimulakan seawalnya Ogos ini.

Pengerusi Masjid, Datuk Dr Fadzli Cheah Abdullah berkata, dewan dengan kos hampir RM3.5 juta itu akan dijadikan pusat pembangunan dan pendidikan serta kemudahan bagi penganjuran program-program masjid.

Menurutnya, pengurusan masjid telah memulakan usaha mengumpul dana bagi tujuan itu sejak lima tahun lalu dan setakat ini berjaya mengumpul sebanyak RM1 juta hasil sumbangan orang ramai.

“Walaupun jumlah dana itu masih jauh daripada kos sebenar, tetapi kita merasakan sudah terlalu lama menunggu dan perlu memulakan kerja-kerja fasa kedua ini secara perlahan-lahan,” katanya kepada media sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Masjid Muhammadiah semalam.

Beliau berkata, pengurusan masjid juga telah memohon peruntukan tambahan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi tujuan itu.

“Jika dewan ini siap nanti ia boleh memuatkan lebih 2,000 orang dan boleh digunakan untuk ruang solat Jumaat dan solat Aidilfitri kerana kebiasannya, masjid ini tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai hinggakan ada yang terpaksa solat di atas jalan,” katanya.

Masjid Muhammadiah atau lebih dikenali Masjid Cina Muslim mula dibina pada 24 November 2011 atas tapak seluas 3,776 meter persegi dengan kos lebih RM4 juta.

Ia mula digunakan untuk solat pada Ogos 2013 dan sehingga kini ia bukan sahaja menarik umat Islam beribadat tetapi bukan Islam turut mengunjunginya kerana tertarik dengan pelbagai kemudahan dan aktiviti kebudayaan diadakan di situ.

Artikel Berkaitan:

Majlis sambutan hari raya itu merupakan acara tahunan masjid berkenaan dianjurkan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan turut dihadiri masyarakat bukan Islam dari kawasan sekitar.

Dalam pada itu, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusof Husin berkata, penganjuran sambutan hari raya di masjid dapat mewujudkan suasana harmoni kalangan rakyat terutama apabila turut diraikan mereka yang bukan Islam.

Katanya, ia selaras dengan gagasan rahmatan lil alamin yang dibawa kerajaan ke arah sebuah negara aman.

"Usaha Masjid Muhammadiah menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri, sambutan Tahun Baru Cina, pesta tanglung dan sebagainya merupakan satu usaha ke arah mempromosikan keharmonian.

"Mudah-mudahan dengan memahami konsep keharmonian, lebih ramai tidak kira mana-mana pihak punya keinginan untuk membantu pembangunan institusi masjid kerana dalam konteks Malaysia sekarang tidak semua peruntukan datang dari kerajaan, ada juga sumbangan masyarakat," katanya.