Empat hari dalam longkang

Seorang lelaki warga emas yang dipercayai terjatuh dalam longkang di Padang Jawa, Shah Alam sejak empat hari lalu diselamatkan sepasang suami isteri semalam. - Foto ihsan pembaca
Seorang lelaki warga emas yang dipercayai terjatuh dalam longkang di Padang Jawa, Shah Alam sejak empat hari lalu diselamatkan sepasang suami isteri semalam. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang warga emas bernasib baik apabila diselamatkan suami isteri selepas dipercayai terjatuh di dalam longkang di Padang Jawa, Shah Alam sejak empat hari lalu.

Pengusaha gerai makanan, Rusma Shamsuddin, 39, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan anak jirannya yang berusia enam tahun.

"Semalam kanak-kanak itu ada beritahu saya yang dia ada ternampak seorang lelaki dalam longkang itu tapi saya tak faham sebab dia cakap dialek Kelantan.

"Hari ini dia pula beritahu perkara sama, mujur pekerja saya faham dan terus ke lokasi terbabit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, dia segera meminta suaminya, Wan Mohd Zul Haffizi Wan Hussin, 30, serta dua pekerjanya memeriksa longkang berhampiran rumahnya.

"Kami terkejut bila lihat seorang lelaki berusia lingkungan 60-an berada di dalam longkang itu. Ingat pakcik itu dah meninggal dunia sebab dia tak menyahut ketika dipanggil. Mujur dia tak dibawa arus deras sebab dua tiga hari ini hujan lebat.

“Kami lega bila dia mula gerakkan kakinya tak beberapa lama kemudian. Dia sangat lemah dan hampir seluruh tubuhnya dipenuhi lumpur.

"Kami cuba bercakap dengannya, namun dia tidak berdaya untuk mengeluarkan suara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mangsa yang mengalami luka kecil di pipi dan punggung serta kaki dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut. - Foto ihsan pembaca
Mangsa yang mengalami luka kecil di pipi dan punggung serta kaki dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut. - Foto ihsan pembaca

Rusma berkata, suami dan dua pekerjanya mengangkat serta mengeluarkan lelaki itu dari dalam longkang berkenaan.

"Kami bawa pakcik ke rumah untuk mandikannya serta berikan dia minuman serta makanan selain pakaian baharu sebelum menghubungi ambulans.

"Selepas makan, pakcik itu mula bercakap tapi tak suaranya tak berapa jelas. Dia beritahu dah empat hari berada dalam longkang itu dan cuba meminta pertolongan namun suaranya tak didengari," katanya.

Menurutnya, warga emas itu dipercayai warga tempatan berdasarkan percakapannya dan hanya menggelarkan dirinya sebagai Bala.

Katanya, tiada dokumen pengenalan diri ditemui, hanya beberapa duit kertas ditemui dalam poket seluar mangsa.

Mangsa dimandikan dan diberikan makan serta minum sebelum dihantar ke hospital. - Foto ihsan pembaca
Mangsa dimandikan dan diberikan makan serta minum sebelum dihantar ke hospital. - Foto ihsan pembaca

"Dia mengaku masih bujang dan hanya sebatang kara. Saya percaya dia bukannya tinggal di kawasan ini memandangkan jiran-jiran pun tak mengenalinya," katanya.

Rusma berkata, mangsa yang mengalami luka kecil di pipi dan punggung serta kaki dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Terdahulu, wanita itu memuat naik status di Facebook yang disertakan beberapa keping gambar mengenai kejadian menimpa mangsa.