2,089 pemandu tidak mencarum skim Perkeso

Nora melayan kakitangan Perkeso dan tetamu yang hadir di Majlis Sambutan Aidilfitri di Bangunan Perkeso Negeri hari ini.
A
A

KOTA BHARU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan akan mengesan 2,089 pemandu bas, penyedia perkhidmatan e-hailing dan teksi di negeri ini yang gagal membuat caruman Skim Bencana Kerja Pekerjaan Sendiri.

Pengarah, Nora Yaacob berkata, kegagalan membuat caruman, menyebabkan mereka berdepan tindakan kompaun maksimum RM4,000 sebelum ia dikuat kuasa 1 Julai ini.

Menurutnya, pemandu boleh dikenakan tindakan mengikut sub seksyen 11 (4), sub seksyen 69 (3) dan seksyen 70.

“Skim ini bukan baharu tetapi dicadangkan oleh Perdana Menteri pada 2012 dan hanya dikuatkuasakan oleh kerajaan lima tahun kemudian.

“Selepas dua tahun pendidikan dan pendedahan kepada sudah tiba masanya pemandu kenderaan awam di negeri ini dilengkapi dengan skim keselamatan untuk jaminan masa depan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Sambutan Aidilfitri di Bangunan Perkeso Negeri hari ini.

Nora berkata, pemandu hanya perlu mencarum minimum RM13.10 sebulan atau RM157.20 setahun dan menikmati lapan faedah skim berkenaan.

Selain kemudahan perubatan beliau berkata, pencarum akan menikmati faedah hilang upaya sementara, hilang upaya kekal, elaun layanan sentiasa, orang tanggungan, pengurusan mayat, pinjaman pendidikan dan pemulihan jasmani.

Meskipun banyak kemudahan diterima namun beliau berkata, hanya 104 pemandu teksi di Pengkalan Kubor Tumpat membuat caruman secara sukarela.

“Perkeso menyediakan skim untuk pemandu teksi yang bekerja sendiri atau menjalankan perkhidmatan seumpamanya.

“Ia secara tidak langsung, memberi perlindungan kepada orang yang bekerja sendiri daripada bencana penyakit khidmat atau jika mereka terlibat dengan kemalangan semasa bekerja,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia